Sunday, January 28, 2007

Mengapa Bangsa Arab Bercakaran?

Bangsa Arab pada zaman lampau adalah bangsa yang paling maju. Mereka banyak mempelopori teknologi yang menyumbang kepada perkembangan peradaban dunia. Tanah Arab walaupun diliputi dengan tanah gersang dan padang pasir, namun sangat kaya dengan emas hitamnya.

Namun sayangnya, sejak berkurun lamanya bangsa Arab tidak pernah lari dari sejarah-sejarah perang saudara. Mereka terkenal sebagai satu bangsa yang taksub dengan puak masing-masing.

Hanya selepas Nabi Muhammad berjaya mengembangkan syiar Islam di Tanah Arab, barulah bangsa yang terkenal dengan sikap bongkak dan keras kepala ini dapat disatukan. Ianya berkekalan sehingga kepada pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin. Namun pada zaman pemerintahan Saiyidina Ali r.a, bangsa Arab mula menunjukkan tanda-tanda perpecahan semula.

Kini, puak Kurdish, Syiah dan Sunnah saling berbunuhan sesama sendiri di Iraq. Yang bertepuk tangan dan bersorak gembira, Amerika Syarikat.

Puak Hamas dan Fatah juga saling bermusuhan dan bercakaran di Palestin. Sekutu syaitan, Israel dan Amerika Syarikat berpesta pora dan ketawa gembira menyaksikan senario yang memudahkan pelaksaan objektif mereka bagi mengusir dan melenyapkan bangsa Arab dari Palestin.

Para sahabat yang bijak laksana, saya melihat keadaan ini sebagai pandangan dari seorang yang dangkal pengetahuan mengenai sejarah dan sosio budaya bangsa Arab. Kepada para sabahabat yang berpengetahuan, dialu-alukan berkongsi maklumat dan pengetahuan dengan saya dan sahabat yang lain.

Terima kasih.

Friday, January 26, 2007

Petang Yang Bersejarah

Sedang kaki saya melangkah mendaki anak-anak tangga, saya dikejutkan dengan satu panggilan. Saya lihat di skrin handphone tangan. Unknown number. Siapa pula ni?

Saya menyapa. “Hello.”
“Hello…” Kedengaran suara gemersik di hujung sana.
“Hello… hello. Hello.” Saya menyapa lagi. Malangnya talian sudah terputus.

Handphone saya masukkan semula ke dalam beg tangan. Destinasi utama saya tuju. Dalam hati masih tertantya-tanya, siapa gerangan si pemilik suara lunak merdu itu. Tidak pernah saya dengari sebelumnya. Tapi dari intonasi sapaan yang cuma ‘hello’ itu cukup menggambarkan si pemanggil seorang yang mudah mesra.

Tidak lama kemudian satu sms saya terima.

‘Halle, sori line putus. Baru nak cakap, terus mati. Sabo je aku. Lain kali akak tepon lagi. Ahakz. Sihat? Harap semua sihat. Huhu’

Hah? Dia?

Saya seperti bermimpi kerana masih lagi tidak percaya si dia yang menelefon saya sebentar tadi. Dia menelefon saya dari jauh. Sangat jauh. Saya sangat terharu. Bayangkan dia yang jauh itu sanggup telefon saya. Tentu mahal. Walaupun hanya sempat ‘hello’ saja, saya cukup menghargainya dan betul-betul terharu.

Terima kasih sahabat. Semoga persahabatan kita terus berkekalan sampai bila- bila.

Dan saya berharap supaya dia selalu bersabar dengan saya yang selalu terlepas kata dan celupar bisa ini.

p/s : Pokcik Mersik, jangan jeles taauuuuu….

Wednesday, January 24, 2007

Ada Satu Cerita

Apa yang ingin saya kongsikan pada kali adalah sesuatu yang pernah saya alami sendiri lebih kurang hampir sepuluh tahun yang lalu. Bagi sesetengah orang, mungkin kurang menarik. Tapi pada saya, ia agak unik dan mungkin juga agak merbahaya.

Dulu, saya pernah bekerja di sebuah syarikat logistik di Port Klang. Pada satu hari, syarikat mengadakan temu duga bagi jawatan eksekutif logistik. Maka pada hari itu datanglah beberapa calon yang berkelayakan untuk memohon jawatan berkenaan.

Oleh kerana pejabat kami pada masa itu agak kecil, maka semua calon pun duduklah berdepan-depan dengan meja kami. Kami, pekerja Cina, Melayu dan India, bekerjalah seperti biasa tanpa menghiraukan para calon yang datang. Kami bergurau sambil bekerja macam biasa.

Ada seorang calon Cina yang ikut sama-sama tergelak dengan kelucuan kami. Agaknya dia seronok dengan suasana kerja di situ. Seorang staf dengan suka rela pula menolong membuat fotokopi sijil-sijil para calon.

Calon Cina yang seronok dengan suasana di tempat kami tadi juga meminta supaya sijil-sijilnya dibuat salinan juga. Hmm... banyak cantik punya muka.

“Awak Muslim ker?” tanya staf Cina yang memfotokopi sijil calon berkenaan.
“Tidak,” jawabnya ringkas.
“Nama awak nama Melayu?” tanya staf Cina itu lagi.

Kami pun berpandangan. Hairanlah kononnya. Memang hairan pun. Hehehe....

“Siapa namanya?” soal salah seorang dari kami.
“Ali bin Muhamad.”
Calon tadi cuma tersenyum.
“Betul ker awak bukan Muslim?” soal salah seorang dari kami sekali lagi. Calon tadi geleng-geleng.
“Bapa saya yang letak. Dalam surat beranak dan kad pengenalan pun memang nama saya begitu.” Calon itu masih juga tersenyum-senyum.
“Oooooooh...” punyalah panjang ooo kami.
“Kawan saya pun ada yang nama Muslim macam nama saya. Muhamad bin Abdullah namanya.”
Sekali lagi kami, “Ooooooooh....”

Jangan fikir orang yang pakai nama Islam itu agamanya pun Islam.

Thursday, January 18, 2007

Aduan Untuk Pos Malaysia

Posmen seMalaysia mogok dengan saya agaknya.

Sebulan sebelum Ramadhan yang lalu, saya kirimkan sebuah buku untuk saudara di Sabah.

Dalam bulan Ramadhan pula, Ashadi Zain ada mengirimkan novel Dari Kepala Batas untuk saya. Dalam bulan yang sama juga, Kak Raina di Australia mengirimkan kad raya untuk saya.

Malang betul saya, kerana kiriman yang saya buat dan kiriman yang dibuat untuk saya, sampai ke hari ini masih tidak kunjung tiba.

Kalau kiriman saya sudah diterima, tentu ada orang yang akan mengucapkan terima kasih. Kalau saya sudah menerima kiriman-kiriman itu pula, sudah tentu saya akan ucapkan terima kasih kepada Ashadi Zain dan Kak Raina.

Oooh... agaknya memang betul posmen seMalaysia mogok dengan saya.
Tapi yang musykilnya, apa salah saya sampaikan mereka mogok?
Saya berkira-kira mengirimkan beberapa buah buku untuk seorang adik di Johor. Agak-agaknya, kiriman saya itu sampai ataupun tidak?
Terasa serik pula nak gunakan khidmat Pos Malaysia.

Gdex, DHL, Nation Wide, Sky Net?
Mahal!

Hmm... apa alternatif yang saya ada agaknya?

Tuesday, January 16, 2007

Bah Oh Bah II dan III

Bah oh bah II

Gelombang kedua melanda
Kami resah
Kami gelisah

Kami
Bukannya suka berkaraoke
Kami
Tidak hairan dengan Mawi
Tapi
Kalau kami tak sertai
Alamatnya kami tak diberi bantuan

Tuan
Terima kasih kerana sediakan pesta untuk kami
Tapi tuan
Kami tidak mahu yang itu
Kami mahu berqiamullail
Kami mahu bermunajat
Kami mahu menyerahkan diri
Kepada Maha Pencipta
Yang menurunkan malapetaka ini
Minta supaya bah ini lekas-lekas diserap bumi
Minta supaya bah ini lekas-lekas disedut matahari

Tuan
Kami amat perlukan bantuan
Apatah lagi bah ini lebih menggila lagi
Kami menderita sekali

Terima kasih
Kerana memahami penderitaan kami
Terima kasih
Atas keperihatinan tuan

Bah Oh Bah III

Tugiman, rakan lama di Batu Pahat.

Tugiman : Dah empat hari aku berumah tangga di sekolah ni. Petang tadi ada artis datang.
Saya : Bestlah kau dapat jumpa artis.

Tugiman : Mana bestnya tengah-tengah banjir ni?


Sepupu, di Mersing.

Saya : Rumah Tam tak banjir?
Itam : Rumah Tam tak banjir, tapi jalan nak masuk Mersing semua tutup.
Saya : Mak dan abah bila balik?
Itam : Hari ni.
Saya : Adik-adik dengan siapa?
Itam : Abang Ngah ada kat rumah.
Saya : Ok.

Semoga mak ngah dan pak ngah selamat sampai dari Tanah Suci. Semoga mereka tak lupa berdoa di sana meminta supaya bah luar biasa itu lekas-lekas surut. Amin.



Monday, January 15, 2007

Sudah Terbit : DIA ISTIMEWA


Novel remaja saya yang ke-6 sudah pun terbit.
Dia Istimewa mengisahkan Jamilah, seorang pelajar yang lembam, dapat meneruskan kelangsungan hidupnya meskipun tidak pintar di sekolah.
Ikuti bagaimana Jamilah mengharungi hidup selepas menamatkan persekolahan setakat tingkatan tiga sahaja.
Adakah dia menerima lamaran pemuda kampung bernama Ipin seperti yang dikehendaki oleh bapa Jamilah?
Ikuti juga bagaaimana layanan abang dan kakak Jamilah sesudah mengetahui yuran persekolahan mereka dibayar dengan duit hasil titik peluh Jamilah, adik yang sering mereka buli. Banyak kisah nakal yang dilukiskan mengenai mereka.
Cerita ini berlatar belakangkan era 80-an di sebuah perkampungan yang baru hendak membangun. Pada ketika itu anak-anak perempuan akan dimomokkan kononnya mereka akan dikahwinkan seandainya tidak lulus periksa.
Bagi mengetahui kesudahan cerita ini, sila dapatkan ia di kedai buku berhampiran anda.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada krew PTS 1 yang bertanggungjawab menerbitkan buku ini.
Kak Nor yang memahami, Ann dan Lia yang bekerja keras. Tak lupa juga untuk Kak Chik, editor buku Dia Istimewa. Saya berpuas hati dengan kerjasama dan sikap anda yang selalu berkomunikasi dengan penulis kecil seperti saya ini.
Jutaan terima kasih dari saya.

Bah Oh Bah

Kuala Lumpur
Petang ini rintik-rintik hujan turun lagi

Johor
Bah sudah gelombang yang kedua

Sabarlah
Tenanglah
Wak Marjan di Batu Pahat
Makcik Munah di Pontian
Nyai Painah di Kota Tinggi
Pak Sahid di Mersing
Atan di Johor Bahru

Pandai betul kamu minta kami tenang
Pandai betul kamu minta kamu sabar
Mari sini turun ke kawasan kami
Baru kamu tahu!
Kata Wak Marjan
Kata Makcik Munah
Kata Nyai Painah
Kata Pak Sahid
Kata Atan

Wak Marjan, Makcik Munah, Nyai Painah, Pak Sahid, Atan
Eh, bukankah seronok duduk di tempat bah itu?
Ada acara karaoke supaya boleh berhibur
Ada Mawi yang tersengih tersenyum
Hilangkan lara akibat malapetaka
Jangan tak datang, jangan tak pergi
Kalau tak datang, kalau tak pergi
Nanti tak dapat bantuan
Siapa yang susah?
Siapa yang rugi?

Oh, bagus juga ada pihak yang bermurah hati
Anjurkan parti hiburan untuk kami
Berkaraoke dan jumpa Mawi
Seumur hidup cuma sekali
Ayuh kita pesta
Kata Wak Marjan
Kata Makcik Munah
Kata Nyai Painah
Kata Pak Sahid
Kata Atan

Kuala Lumpur
Aku jengah jendela
Dari tingkat tujuh flat permaiku
Mengintai Banjaran Titiwangsa
Mencari-cari puncak Genting yang sedang disapu kabus
Syukur aku di sini
Di flat tingkat tujuh ini
Di Kuala Lumpur ini

Kamu, kamu, kamu, kamu dan kamu
Lantak kamu kalau hendak berpesta pora di tengah bah
Suka hati kamu kalau hendak bersalam dengan Mawi
Berkaraoke sampai keluar anak tekak pun aku sudah tidak peduli

Sia-sia aku di sini mendoakan kamu semua!



Sunday, January 14, 2007

Kalau kamu...

Kalau kamu gembira,
Khabarkanlah padaku,
Agar dapat kukongsi kegembiraanmu.
Kalau kamu lara,
Datanglah padaku,
Biar kucuba hiburkan hatimu.
Kalau kamu ingin bercerita,
Dekatlah padaku,
Supaya dapat kudengar kisahmu.
Aku mulur seperti getah.
Membentuk seperti yang kamu mahu.
Cuma jangan salahkanku
Kalau aku jadi seperti yang tidak kamu inginkan
Kerana kamu yang mahukanku jadi seperti itu.

Tuesday, January 09, 2007

Hampas!

Sukakah kamu kalau diri kamu diperlakukan seperti sudah hilang manis, sepahnya dibuang?
Sukakah kamu kalau merasakan diri kamu ditendang seolah-olah sudah tiada harga lagi?
Sukakah kamu seandainya tempat yang pernah kamu curahkan keringat dan buangkan segala kudrat itu melayan kamu seperti sudah lupa penat lelah kamu?

Ya, tentu jawapannya tidak suka!
Sudah tentu jawapannya tidak seronok!
Sudah tentu jawapannya kecewa!

Dulu dia bertelefon-telefon.
Dulu dia bersms-sms.
Dulu dia berYM-YM.
Dulu dia beremail-email.

Sekarang nombor telefon tangan saya pun dia sudah TERRRLUPA,
Sekarang YM saya pun dia sudah tak TERRRJELING,
Sekarang alamat e-mail saya pun dia sudah TERRRDELETE agaknya.

Pagi tadi, baru pagi tadi untuk pertama kalinya sejak beberapa bulan lalu dia hubungi telefon tangan saya.
Ooooooooooooooooooooooooh, masih ada lagi nombor telefon saya dalam simpanannya!

Dia : Akak apa khabar?
Saya : Ok.
Dia : Projek Pahlawan tu akak yang pegangkan?
Saya :Ya.

Oooooh, dia hubungi saya kerana hal berkaitan dengan kerja dan kepentingannya. Kalau mengenai keperluan diri saya, kenapa buat-buat terrrlupa ya?)

Dia : Projek tu kena siap Jan 07, akak pulak masih tak belajar program baru tu. Hmm... akak dah buat apa-apa dengan Projek Pahlawan tu?
Saya : Tak buat apa-apa.
Dia : Kita nak bagi projek tu pada orang lain.

Hari ini sudah 9hbJan07. Tak mungkin projek itu siap dalam masa hanya 2-3 minggu!
Permainan apa ni? Sorok-sorok? Hey... kalau sorok-sorok, kenapa menyorok di tempat yang jelas? Lawak ke ni? Kalau lawak kenapa saya tak ketawa? Tak mengapalah, mungkin lawak yang tak boleh ketawa. Walau apapun saya akan cuba ketawa juga

HA, HA dan Ha!

Jangan ingat saya tak tahu. Projek Pahlawan tu dah diserahkan kepada orang lain sebelum dimaklumkan kepada saya. DAN. Projek itu dah pun siap, cuma tunggu masa saja meluncur di pasaran!

JANGAN BODOHKAN SAYA!

Dia : Akak nak ambil job lagi tak?
Saya : Tak nak!
Dia : Hmm satu lagi mengenai karya akak tu, saya dah minta pengurusan uruskan soal postingnya.
Saya : Ok.

Hah... benda yang sudah tidak mengujakan saya itu akan diposkan kepada saya sedangkan saya sendiri tidak dimaklumkan tentang kelahirannya! Tahu-tahu saja sudah wujud! Wah... mungkin dia sudah naik jadi orang kanan sekarang. Kalau dulu hal-hal remeh pun sms, telefon, kalau tidak berYM.

SEKARANG AKU SUDAH JADI SEPAH!
TERIMA KASIH KERANA MENJADIKAN AKU SEPERTI BENDA ITU!

Friday, January 05, 2007

Tertangkap : Alunan Hidup.

“Apa yang kamu semua buat di sana!”

Sedang Kamsiah, Radiah dan Satirah begitu asyik mencabut beberapa batang tebu, tiba-tiba satu suara melaung ke arah mereka. Namun ketiga-tiganya tidak mengendahkan laungan itu. Mungkin mereka memang tidak menyedarinya. Adilah yang sedang berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut, terpinga-pinga seketika.

Kelihatan beberapa orang lelaki di kantin sekolah.

Adilah berpaling ke arah suara laungan itu. Namun dia tidak menduga laungan itu ditujukan kepadanya dan teman-teman. Masih belum jelas pada penglihatannya, siapa yang melaung sebentar tadi.

Adilah terpinga-pinga lagi. Dipandangnya kawasan-kawasan lain yang berhampiran. Tiada sesiapa. Hanya dia dan teman-temannya sahaja yang ada.

“Mari ke sini!” Lelaki yang sedang melaung itu tiba-tiba bangun dari kerusinya. Dia mara ke hadapan.

“Mari!” laungnya lagi.
Kini barulah Adilah dapat mengecam lelaki itu. Cikgu Samad, guru warden asrama putera! Dia juga seorang bekas tentera!

“Kamsiah!”
Panggilan Adilah tidak bersahut.

“Kamsiah!” Sekali lagi Adilah memanggil ketua asrama puteri itu.
“Ada apa?” sahut Kamsiah yang sedang mematahkan sebatang lagi tebu.
“Cikgu Samad ada di kantin,” kata Adilah.

Namun kata-katanya tidak diendahkan langsung oleh Kamsiah, Radiah dan Satirah. Mereka masih terus mengumpul beberapa batang tebu lagi.
“Apa yang kamu buat di sana? Mari ke sini!” Laungan Cikgu Samad kedengaran lagi.
“Kamsiah... Cikgu Samad panggillah!” Kata-kata Adilah kali ini membuatkan Kamsiah terkaku. “Dia panggil kita,” jelas Adilah lagi.
“Dia di mana?” Wajah Kamsiah sudah berubah. Kelihatan seperti tidak berdarah. Satirah dan Radiah juga sudah berhenti dari terus mengumpul tebu-tebu tersebut.
“Dia di kantin. Ada beberapa orang lagi di sana,” jelas Adilah lagi.

Kamsiah menjenguk seketika ke arah kantin. Matanya telah menangkap batang tubuh Cikgu Samad yang sedang berdiri memerhatikan mereka. Sebaik sahaja kelibat Kamsiah kelihatan, Cikgu Samad langsung melambai kepadanya.

“Mengapa kamu berjalan hingga ke hujung blok, tentulah dia melihatmu,” Kamsiah menyalah Adilah.
“Manalah saya tahu ada orang di kantin,” Adilah membela dirinya.
“Marilah kita pergi,” ujar Kamsiah tiba-tiba. Radiah dan Satirah terkebil-kebil dengan arahan ketua mereka. “Lekaslah kutip tebu-tebu itu,” arah Kamsiah. “Kita naik ke kelas tingkat atas,” tambahnya.
“Kamsiah... dia panggil lagilah,” kata Adilah sekali lagi. Kelihatan dimatanya Cikgu Samad sedang melambai ke arah mereka.
“Lekas... mari kita pergi,” Kamsiah mengarah lagi. Radiah dan Satirah akur.
“Cikgu Samad terus memanggil kita, bagaimana?” ujar Adilah. Dia tidak merasa seperti orang yang bersalah.

“Pedulikan dia. Ayuh, lekas!” gesa Kamsiah. Dia cuba bertenang. Radiah dan Satirah sudah mula melangkah. Kamsiah juga mula mengekori kedua-duanya. Namun Adilah masih juga tidak bergerak. Dia teragak-agak.

“Kamsiah!” Adilah memanggil Kamsiah yang sudah semakin jauh meninggalkannya. Sementara itu laungan Cikgu Samad memakin menghampiri. Namun kelibatnya masih belum kelihatan.

“Tunggu dahulu! Jangan lari!” Laungan itu membuatkan langkah Kamsiah, Radiah dan Satirah semakin deras. Adilah pula hanya berjalan seperti biasa. Sesekali Adilah menoleh ke belakang. Kedengaran tapak kaki semakin menghampirinya. Tetapi kelibat orang yang melaung tadi masih terlindung di sebalik blok sekolah.
Adilah teragak-agak samada hendak menyerah diri, ataupun melarikan diri seperti teman-temannya. Dia masih lagi di kaki lima, sedangkan teman-temannya sudah sampai ke tingkat dua. Derap-derap tapak kaki Cikgu Samad pula semakin mendekat.
“Tunggu saya!” laung Adilah.
“Lekaslah!” balas teman-temannya.
“Jangan lari!” Suara Cikgu Samad bagaikan berada di belakang Adilah sahaja. Perutnya terasa kecut.
Tiba di hadapan tangga, sekali lagi terdengar suara laungan Cikgu Samad. Adilah diserkup serba-salah. Akhirnya dia duduk di depan tangga, di balik pokok bunga pagar. Dia terlindung di situ dari penglihatan Cikgu Samad.
Jika dia menaiki tanggan ketika itu, pasti Cikgu Samad dapat menangkapnya. Temam-temannya yang lain semuanya sudah lepas ke atas. Sudah selamat. Dirinya sahaja yang tertinggal. Semuanya gara-gara rasa serba-salahnya.
“Jangan lari!” Cikgu Samad semakin mendekat. Tapak kakinya kian berderap-derap di atas simen.
Adilah memejamkan mata. Jika Cikgu Samad meneruskan langkahnya, pasti dia akan ditemukan menyorok di balik pokok bunga itu. Terasa mukanya panas tiba-tiba. Dia tidak dapat menyelamatkan diri lagi!
Matanya terpejam. Bibirnya digigit-gigit. Tangannya sudah sejuk dingin. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Dia nekad. Dia mahu menyerah diri.
Satu... dua... tiga... Adilah bangun. Dan Cikgu Samad yang semakin mendekat segera menangkap kelibatnya. Tiada apa yang mampu dilakukan lagi oleh Adilah kecuali menyerah.
“Mengapa kamu lari?” tanya Cikgu Samad. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Malah dia tersenyum pula!

Pertanyaan Cikgu Samad dibiarkan sahaja berlalu tanpa jawapan. Yang mampu dilakukannya hanyalah tersengih dan menunjukkan wajah minta dikasihani.

“Di mana teman-temanmu yang lain?” tanya Cikgu Samad lagi. Adilah sekali lagi diserkup serba-salah. Bibir bawahnya digigit-gigit.
“Di... di....” Muka Adilah sekali lagi terasa panas. Dia menunduk. Tidak sanggup hendak memandang muka Cikgu Samad.

“Di mana?” soal Cikgu Samad lagi. Dia tersenyum.
Senyuman Cikgu Samad meyakinkan Adilah bahawa mereka tidak akan dikenakan hukuman.
“Di atas, cikgu,” tiba-tiba terpacul kata-kata Adilah. Cikgu Samad menarik nafasnya kelegaan.
“Mengapa kamu curi tebu itu?” Cikgu Samad bersuara lagi.

“Kami tidak curi. Kami hanya mengambil sahaja.” Terkebil-kebil mata Adilah memandang Cikgu Samad. “Lagipun saya hanya menemani mereka,” ujarnya lagi. Tanpa sedar, dia berpaling tadah!

“Lebih tepat lagi, kamu bersubahatlah?” ujar Cikgu Samad. Dia menggeleng kepala beberapa kali. Adilah hanya mampu tersengih.

Pelajar-pelajar lain sudah sering mengambil tebu di situ, namun tidak pernah tertangkap. Dirinya yang hanya bersubahat ini pula yang terkena. Orang yang mengambil, atau lebih tepat lagi mencuri tebu buat kali pertama, sudah lepas ke atas.
Cebisan kisah ini belum diedit bahasa.