Wednesday, December 27, 2006

Baru Terbit : Alunan Hidup



Terus terang saya katakan, novel jibunsyi ini adalah satu percubaan. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan pembaca. Namun saya sudah melakukan yang terbaik. Walaupun harapan untuk melihat buku ini terbit sangat mengujakan pada awalnya, namun kemelut dalam penerbitan novel ini membuatkan saya putus harap untuk menunggu kelahirannya. Walaubagaimanapun sekarang saya bersyukur kerana ia telah pun terbit walaupun ia sudah tidak mengujakan lagi. Terima kasih kepada yang terlibat.

Alunan Hidup mengisahkan perjalanan hidup seorang Minah Kilang bernama Adilah. Walaupun dia berkelayakan untuk menyambung pengajian, tapi di atas beberapa sebab, hasratnya terpaksa dilupakan begitu sahaja.

Namun Adilah gagahkan diri meredah kehidupan dengan status minah kilang yang sering dipandang rendah dan dipandang serong masyarakat. Baginya bukan semua minah kilang 'berkepala kosong.'

Harapan saya, semoga kelahiran novel ini mampu menangkis tanggapan negatif terhadap golongan penjana ekonomi negara ini. Jangan sesekali merendahkan mereka. Kejadian-kejadian yang berlaku di dalam cerita ini adalah peristiwa benar.

Tunggu kemunculannya di kedai-kedai buku berhampiran anda.

Saturday, December 23, 2006

Minggu Yang Menguji


Sejak beberapa hari ini saya dihambat oleh perkara-perkara tak diduga yang menjadikan rutin harian dan beberapa rancangan terganggu. Pendek kata minggu ini adalah minggu yang lain dari kebiasaan yang lazim saya tempuhi.

Jumaat lepas, pruf writer dan senaskhah OREN tiba untuk saya semak dan buat pembetulan pruf itu adalah dari manuskrip DIA ISTIMEWA yang bakal terbit Januari 07 dan naskhah OREN itu pula untuk pembetulan bagi diulang cetak. Tidak lupa beberapa dokumen perjanjian yang perlu ditandatangani. Kesemuanya perlu dihantar pada 19 dan 20 Disember 06, iaitu pada Selasa dan Rabu depan. Hmm... tak sampai seminggu pun! Dalam masa yang sama, keluarga dari Kuantan pula datang berkunjung. Orang tua saya pula sangat uzur kerana mengidap Parkinson. Semua naskhah dan dokumen yang baru saya terima itu saya tolak ke tepi dahulu. Hari Sabtunya, keluarga pulang semula ke Kuantan.

Sedang leka meneliti manuskrip, si puteri pula tiba-tiba muntah-muntah. Tidak sampai lima belas minit, pasti dia akan muntah lagi. Keadaannya berlarutan sehingga ke petang.
Sejak pagi, cuma sebotol susu saja yang masuk ke perutnya.

Saya bawa ke klinik. Tiba di klinik, doktor ternampak lebam di dahinya pula. Doktor itu speakin London. Bla bla... doctor... bla.. bla... observe... bla... bla... hospital... Terus diarahkan kami supaya membawanya ke hospital dengan berbekalkan refer letter. Mahu tak mahu terpaksalah kami ke hospital pula. Kain baju dan bekalan pun saya sediakan kerana pasti kami akan bermalam di wad. Buat X-ray, masuk drip. Meraung si puteri. Kasihan. Lekas tu doktor masukkan dia di ER (Emergency Room).

Malam, kami masih di hospital. Doktor nak buat CT Scan pula. Puteri terpaksa diberi sedation. Setelah setengah jam, dia masih juga tak mahu tidur. Doktor tambahkan dos lagi dengan harapan dia cepat tidur dan boleh lekas-lekas buat CT Scan. Malangnya bukan saja dia tak mahu tidur, tapi menangis minta susu, minta air dan minta roti yang saya sedang makan. Saya kasihan lalu beri dia secubit saja roti. Dia makan. Jururawat datang dan larang saya berikan roti kerana dia akan diberi pelali lagi, bimbang tercekik atau masuk ke paru-paru pula. Di depan jururawat, dia menangis mahu roti lagi. Jururawat kesian, tapi apa nak buat, dia pun tak mampu nak tolong. Saya sendiri pun kelaparan kerana sejak tengah hari membawa ke malam, saya tak makan apa-apa langsung, Apatah lagi si puteri yang cuma minum sebotol susu kemudian muntah dan muntah lagi.

Tidak lama kemudian, jururawat datang membawa ubat tidur dan hanya beberapa sudu air masak. Si puteri cepat-cepat ngangakan mulut dan telan ubat tidur tanpa ragu-ragu. Biasanya kalau disuruh makan ubat, memang payah. Memang dia betul-betul lapar, kata jururawat. Kata jururawat, doktor dah mati akal nak bagi dia tidur. Kali yang ketiga pun masih susah juga nak tidur, mungkin sebab dia masih trauma dengan pekerja hospital yang mencucuk drip di lengannya. Akhirnya setelah lelap, barulah CT Scan dilakukan.

Jam sudah 12 malam. Kami tetap juga dihospital. Perut bukan main lapar lagi. Akhirnya, saya baring di atas katil bersama-sama puteri sampai subuh!
Pagi itu barulah kami dibenarkan pulang kerana semua ujian berjaya melepasi halangan. Syukur. Kata jururawat, sepatutnya kami dibenarkan pulang jam 12 malam itu. Tetapi memandang doktor terpaksa memberi dos sedation dan ubat tidur berlebihan kepada si puteri, maka doktor terpaksa memerhatikannya kerana ada kesan sampingan. Hmmm...

Pulang ke rumah, saya cuba selesaikan mengemak kedua-dua manuskrip walaupun hari itu adalah tarikh yang sepatutnya nashkah itu perlu berada di tangan editor. Naskhah Melah Melia juga sudah saya sediakan untuk dikirim kepada seorang adik di Kelantan. Saya berjanji hendak mengirimkannya sebelum si adik ke Melaka. Nampaknya saya tidak dapat selesaikan apa yang sepatutnya.

Lewat sehari, barulah saya hantar nashkah itu ke jabatan editorial. Yang belum selesai cuma mengirim Melah Melia ke Kelantan.

Dan Khamis, hari yang sepatutnya saya kirimkan Melah Melia, saya diserang demam pula, di saat keluarga saya dari Selangor pula datang berkunjung. Huhuhuhu.......

Akhirnya saya sms si adik dan mohom maaf kerana terpaksa mungkir janji. Saya katakan saya akan kirimkan Melah Melia ke kolejnya.

Harap-harap saya tidak akan menempuhi lagi minggu-minggu yang mengkelam kabutkan seperti minggu ini! Amin.

Tuesday, December 12, 2006

Tentang Ayat-ayat Cinta


Novelnya – Bagus banget! Terasa cerita itu seperti dialami sendiri oleh penulisnya.

Fahri dan Aisya – Superhuman. Pemain utama yang menyerahkan seluruh cinta kepada Allah. Terlalu ideal untuk watak seorang manusia.

Terjemahan – Hmm... di muka depan tertulis VERSI BAHASA MELAYU. Apabila diselak muka demi muka... Tipah tertipu, bang! Kata Encik Zamri Mohamad, “Lebih baik baca karya Indonesianya. Huuu... hampeh!

Thursday, December 07, 2006

Badanku sakit semua!

Masuk hari ini, sudah masuk minggu kedua kami berpindah. Ada beberapa kotak yang masih belum kerjakan. Tak tahu nak letak mana lagi. Hmm... tak ada setor. Di rumah lama dulu, sungguh pun kecil, tapi tersedia sebuah setor kecil untuk menyimpan barangan yang jarang-jarang dipakai. Di rumah baru ni, walaupun lebih besar, tapi tak ada setor. Huuuu...

Almari baju pula, habis tercabut-cabut pintunya. Aduhai... terpaksalah keluar modal lagi untuk beli almari baru yang tentunya lebih besar lagi. Tapi bila ya? Rasanya untuk tempoh sebulan dua ni, almari yang dan hampir jahanam tu masih diperlukan lagi khidmatnya. Kasihan... terlopong saja almari kami.

Penat berpindah pun masih belum hilang lagi. Betis kanan dan kiri ni masih lagi sakit-sakit. Nasib baik juga ada orang yang sudi picit-picitkan betis tu. Kalau tidak, mogok tak mahu masak. Gantung periuk satu hari. Hehehehe...

Tuesday, November 21, 2006

Orang Korea Main Batu Seremban?

Petang, saya terasa kebosanan. Entah kenapa tangan ni terasa gatal pulak meng-on tv. Hmm… elok sangatlah sesekali menonton. Otak pun dah naik berkarat ni. Dah beberapa hari tak menonton kecuali siaran berita pada waktu malam.

TV 2. Drama bersiri Korea.
Heh! Biar betul? Orang Korea pandai main batu seremban? Saya yang pada mulanya berdiri sambil bercekak pinggang, akhirnya duduk di depan tv.

Betullah, orang Korea sedang main batu seremban! Adegan yang sedang ditayangkan adalah gelagat seorang remaja perempuan yang mungkin adalah heroin sedang bermain dengan datuknya. Siapa yang kalah akan mengemas rumah dan memasak.

Nampaknya bukan orang melayu saja yang pandai main batu seremban, orang Korea pun sudah pandai main permainan tradisional kita. Tapi mungkinkah batu seremban juga adalah permainan tradisi orang Korea? Saya garu-garu kepala memikirkannya. Tak lama kemudian saya dapat jawapan apabila remaja perempuan itu meminta supaya seorang remaja lelaki menyertai mereka bermain. Tapi remaja lelaki itu hanya terpinga-pinga. Kemudian remaja lelaki itu bertanya kepada rakan sekerjanya pula sama ada dia tahu bermain batu seremban atau tidak. Dan rakan kepada remaja lelaki tadi juga terpinga-pinga. Jelas permainan itu bukan permainan tradisi mereka. Kalau tidak, tentu ramai remaja Korea yang tahu dan bangga main batu seremban. Remaja kita masih mahukah bermain batu seremban? Entah-entah batu seremban pun mereka tak kenal!

p/s: Lebih elok menonton drama Korea daripada drama latin. Terasa geli nak menonton drama latin. Terlampau banyak pameran ‘buah-buahan’ dan budaya-budaya yang tidak bermoral. Tolonglah

Thursday, November 02, 2006

Malu Tapi Mau Meow Meow.

“Saya malu. Tak ada bakat.”
“Cerita saya tak sedap. Mesti tak ada orang nak baca.”

Itulah ayat-ayat yang sering keluar dari mulut saya apabila disuruh menulis.
Dulu saya tak pernah menulis karya kreatif walaupun sebenarnya ada keinginan ke arah itu. Semasa bersekolah dulu saya cuma menulis apabila cikgu suruh kami buat karangan. Itupun karangan dalam bentuk esei dan karangan berformat. Kata cikgu senang nak lulus. Pendek kata saya hanya menulis apabila dipaksa. Saya menulis kerana nak lulus periksa.

Percaya atau tidak, di sekolah dahulu selama empat tahun saya berada dalam aliran sastera. Daripada tingkatan empat sehingga ke tingkatan enam atas. Macam-macam buku sastera sudah saya kaji. Anafora, metafora, personifikasi dan entah apa-apa lagi istilah itu semuanya saya pelajari (sekarang semua dah lupa). Tapi percaya atau tidak, selama itu jugalah saya tidak pernah menulis sebarang karya kreatif. Saya tak ada bakat. Saya malu. Imaginasi saya tak bagus. Saya tak ada cerita sedap.

Tapi percaya atau tidak, selepas lebih 10 tahun meninggalkan pengajian sastera, saya mula menulis. Kalau semasa bersekolah dulu saya terpaksa menulis untuk lulus periksa, tetapi kini saya dipaksa menulis oleh seorang novelis yang bergiat aktif dalam bidang ini.

“Saya malu nak bagi orang baca hasil tulisan saya.”
“Saya rasa saya tak ada bakat.”

Itulah jawapan saya apabila si novelis itu bertanya mengenai hasil tulisan saya. Semakin hari dia semakin mendesak. Saya jadi serba salah dan segan. Maklumlah... dia orang terkenal. Pada suatu hari, saya memaksa diri saya untuk menulis sebuah siri kanak-kanak.
Tanpa diduga pengurus di sebuah penerbitan sukakan hasil sentuhan pertama saya itu. Dari saat itulah saya mula mengasah bakat yang rupa-rupanya selama ini tersembunyi jauh... jauh... jauh... dan jauh di dalam diri saya.

Rupa-rupanya dengan paksaan, saya melihat sesuatu yang selama ini saya tidak nampak. Sekarang barulah saya nampak apa yang ada dalam dunia penulisan. Kata orang, belum cuba belum tahu. Tak kenal maka tak cinta.

Sekarang, semakin ramai pula yang mendesak dan memaksa saya supaya menulis... menulis... menulis... menulis... menulis....

“Ada buku baru tak?” Saudara di kampung.
“Mana skrip baru?” Kak N**, Pengurus P** O**.
“Buku ni ada sambungan tak?” Pembaca.
“Bila aku nak tulis buku baru ni?” Diri sendiri.

Jadi kepada sesiapa yang merasa ada keinginan henda menulis, jangan malu dan segan. Teruskan niat anda. Selagi tidak mencuba, selagi itu kita tidak tahu kemampuan kita. Ada orang yang memang mempunyai bakat semula jadi. Tetapi ada juga bakat yang perlu digilap dan diasah dahulu. Cuba jangan tak cuba. Siapa tahu rezeki anda ada dalam bidang ini?

Oh, ya... saya terlupa sekarang saya sedang memaksa seseorang supaya mula menulis. Ya, saya akan paksa dia habis-habisan!

Friday, October 13, 2006

Gagal Sekali Lagi.

“Ada tiket menuju ke puncak?” suara nyaring konduktor bertanya.
“Ada.”
“Oh... tiket ini tidak melayakkan kamu ke puncak!” suara sinis si konduktor menerjah-nerjah gegendang telinga

Hari ini dia ketinggalan lagi
Platfom 1 itu sudah tertutup
Hari ini sama seperti semalam
Dia ketinggalan bas menuju ke puncak
Diam-diam dia menangis
Tiada siapa yang tahu

Sepasang mata bundar putera dan puteri
Jernih menatap naif
Tangan-tangan halus menarik-narik manja
Menagih seribu harapan
Yang semakin pudar

Kali ini dia melangkah
Menjauh dari platfom 1
Pergi sebagai petualang yang meresahkan
Sambil memimpin putera dan puteri

Kaki kanan memulakan langkah
Bismillahirrahmanirrahim
Semoga di platfom 2 masih ada kekosongan

Dia percaya
Jalan menuju puncak masih terbuka
Sepasang mata bundar putera dan puteri
Jernih menatap naif
Penuh pengharapan


Tuesday, October 10, 2006

Hubaya-hubaya

Jangan dekati bom berangkai itu.
Jangan cari nahas!
Ia bakal meledak bila-bila masa.
Sumpah!
Bom berangkai itu tidak akan kudekati lagi.
Aku serik!
Tika pertama kali ia meledak di sisi ku,
Puing-puing kaca dan besi bertebaran,
Sipi-sipi merenggut degup nadi,
Dan semangatku hampir punah berderai.
Sumpah ia tidak mungkin kudekati lagi!

Friday, September 22, 2006

2 keluarga 2 budaya

Keluarga kami kalau bercakap kuat-kuat belaka. Macam orang marah, macam orang bergaduh, walaupun sebenarnya kami cuma borak-borak biasa atau bergurau-gurau mesra. Lepas cakap kuat-kuat, kami gelak-gelak sesama sendiri.

Keluarga kami sering meluahkan perasaan. Tak puas hati, sedih, terkilan, gembira, marah dan macam-macam perasaan lagi, habis semuanya kami luahkan. Kami cakap apa yang benar, kami cakap apa yang kami rasa. Tak pernah berselindung. Hasilnya, kami lega, kami puas hati. Lepas tu kami gelak-gelak lagi. Lepas tu kami cakap kuat-kuat lagi.

Agaknya kalau ada orang asing dalam keluarga, dia kena beli ear plug atau sumbat telinga dengan ibu jari, sebab takut gegendang telinga rosak. Mungkin juga orang asing itu akan sangka kami semua pekak sebab bercakap kuat-kuat walaupun orang yang dilawan cakap tu jaraknya cuma seinci dari bahu.

Kawan saya, keluarganya kalau bercakap, penuh sopan santun, lemah lembut, lemah gemalai. Selalu sorok-sorok perasaan, pendam-pendam rasa hati. Marah, terkilan, kecewa, sedih, semua tersimpan kemas dalam hati. Pendek kata paling pandai menjaga hati.

Macam mana kalau dua budaya keluarga ini bertembung? Boleh ataupun tidak saya dan kawan saya itu berkawan dan duduk dekat-dekat?

Iklan Buku


Mengisahkan pelajar tingkatan dua yang bernama Melah Melia. Bantal busuk menemani tidurnya setiap malam. Tuala busuk menemaninya ke mana sahaja. Melah Melia didesak tinggal di asrama oleh keluarganya tetapi dia enggan. Rupa-rupanya dia ada rahsia yang sangat besar. Kalau kawan-kawan tahu, tentu dia malu besar. Dia kencing malam!
Bagaimana Melah Melia menghadapi situasi di asrama? Bolehkah dia menutup rahsia besarnya itu? Semuanya ada di dalam buku ini.

Saturday, September 16, 2006

Satu Hari di Pasar Raya Hyper (sambungan)

Babak 2

Dalam perjalanan ke tempat parking.

Jurujual : Kakak, mari singgah.Ambil mug free.
Ayang : Tak apalah.
Jurujual : Haiyo, kakak. Freelah. Marilah.
Abang : (senyum-senyum)
Ayang : (Dalam malas nak layan tu pergilah juga akhirnya).
Jurujual : Itu macamlah kakak. Datang sini ambil mug saja looo. Isi ini borang dulu.
Ayang : (Mula fill in the black borang yang diberi.)
Abang : (Senyum-senyum.)
Jurujual : Abang macam orang Cinalah.
Abang : (Senyum-senyum lagi)
Jurujual : Abang orang Melaka?
Abang : Bukanlah.
Ayang : You simply cakaplah, amoi. Suka-suka hati you saja. (sambil serah borang yang dah difill in the blank.)
Abang : (senyum-senyum juga)
Ayang : You jual barang apa? (dah lama tau diorang tu nak promo barang)

Jurujual pun memulakan sesinya. Seorang jurujual lagi sejak dari tadi tolong jagakan anak-anak yang sedang main-main dalam troli. Biar kawannya senang nak goda Ayang tanpa gangguan la tu. Tak pulak meragam budak-budak tu. Hmmm... tak ada alasan lagi.)

Jurujual pun memulakan sesinya seperti yang sudah diduga oleh Ayang sejak awal lagi.

Jurujual : Ini barang jenama ***. Pernah dengar?
Ayang : Tak pernah pun.
Jurujual : Pernah dengar jenama ###?
Ayang : Ooh.. dekat sana ada buka kaunter kan?
Jurujual : Ya, ya. Kakak ada ambil mug dekat sana?
Ayang : Tak. Abang yang ambik.
Jurujual : Ooh. Diorang ada bagi kupon?
Ayang : Tak ada pun.
Jurujual : Abang ada buka kupon dekat sana?
Abang : Tak... sebab saya nak cepat.
Jurujual : Ooh. Ok, tak apa. Ini barang A, bla bla bla bla. Harga RM2000++. Barang B, bla bla bla bla. Harga RM2000++ juga. Barang C bla bla bla bla, harga lebih kurang barang A dan B.
Ayang dan Abang : (senyum-senyum. Hehehe. Plan seterusnya dah ada)
Jurujual : Ini kupon diskaun. Kakak bukalah. Dalam ni ada tulis diskaun berapa kakak boleh dapat less kalau beli barang ini. Ada diskaun RM200 dan RM300 sahaja.
Ayang : (Mula buka kupon diskaun tu sambil senyum kambing jer). Harga kupon yang dibuka, RM1000.
Jurujual : (pura-pura kelu lidah bila tengk kupon RM1000. Konon sebelum ni tak pernah ada yang dapat diskaun banyak tu la. Taktik tu).

Jurujual : Haiyo, kakak. Banyaklah diskaun kakak dapat.
Ayang : Oh, ye ke. Tapi saya tak minat nak beli barang ni. (Hahaha)
Jurujual : Eh... rugilah, kakak. Kakak cuma tambah satu ribu lebih saja terus boleh dapat ini barang.
Ayang : Tak mahulah. Saya tak ada duit.
Jurujual : Kakak beli satu set, nanti dapat barang free yang berharga RM2000. Rugi loooo.(Beria-ia)
Ayang : (Sambil gelak) Tak mau, tak mau. Mana saya punya mug?
Jurujual : Belilah barang ni. Installment pun boleh.
Ayang : Saya tak suka hutang. Mana itu mug?
Jurujual : (sambil beri mug free kepada Ayang.) rugilah kakak bla bla bla. (bising betul la amoi tu. Tak henti-henti bercakap).

Lepas dapat mug free Ayang pun lekas-lekas sorong troli dengan Abang.

Ayang : Sori la amoi. Jangan marah haaa?
Jurujual : Tak marahlah. Tapi kakak rugi banyak looo.
Ayang : Tak rugilah. Bye. (Terus jalan cepat-cepat)

Ayang dan Abang senyum-senyum suka. Hari itu dapat dua mug free dari dua kaunter berbeza yang jual barang yang hampir sama dengan jenama yang berbeza tapi satu kampeni. Hahahaha...

p/s : kepada jurujual di luar sana, kita tengok sapa yang kena!


Sunday, September 10, 2006

Satu Hari di Pasar Raya Hyper

Babak 1

Jurujual : Kak, abang, singgah sekejap. Sekejap saja.
Ayang : Tak apalah. Anak dah nak meragam ni. (Alasan)
Abang : (Hampir terpanggil oleh lambaian jurujual.)
Jurujual : Jangan takut kak. Tak ada apa-apa. Datang untuk ambil mug percuma saja. (Beria-ia)
Ayang : Tak apalah. Lain kali saja. Nak cepat ni. Anak dah mula meragam (sambil tunjuk anak yang mula melalak sebab nak buka kereta mainan yang baru dibeli.)
Jurujual : Sekejap saja. Nak bagi mug free lepas tu boleh balik (bersungguh-sungguh).
Abang : (Mula terpanggil bila dikatakan nak dapat mug free. He he he.)
Jurujual : Abang... sekejap saja. Mari, mari!
Abang : (Tersengih-sengih pada Ayang sambil terus mara ke meja jurujual)
Ayang : Hampeh!

Seorang jurujual approach Abang. Dua orang lagi datang kepada Ayang dan anak-anak yang mula nak meragam dalam troli. Dua orang? Mungkin sebab Ayang tu payah sikit nak dijinakkan dan tak makan dengan suapan mug free! Dua jejaka tampan tu pun buatlah borak-borak dengan Ayang dan pujuk-pujuk anak-anak yang mula nak meragam tadi sampai anak-anak yang nak meragam tadi pun mula tergelak-gelak. (Bijak, bijak!)

Lima minit kemudian Abang datang kepada Ayang sambil tersenyum-senyum. Mug free dah dapat. Mereka berlalu dari situ sambil diperhatikan oleh jejaka-jejaka jurujual dengan pandangan hampeh.

Ayang : Diorang tu jual apa, bang?
Abang : Barang jenama ###. Pernah dengar?
Ayang : Tak.
Abang : Jurujual tu tanya pernah dengar jenama tu atau tidak. Abang geleng. Dia tanya dekat Astro ada iklan jenama tu. Abang cakap Astro pun tak ada. Tak ada masa nak tengok tv. Jurujual tu mati akal. (Mereka ketawa geli dan senang hati sambil membelek mug free).


Bersambung.

Tuesday, September 05, 2006

Wednesday, August 30, 2006

Drama berbabak-babak.

TV #
Rancangan Luahan Perasaan Awik dan Dina

Dina : Saya tak boleh lupakan cinta pertama saya.
Awik: Semuanya dah diselesaikan dengan cara baik. Sekarang tak ada apa-apa lagi.

Siaran iklan : Kibarkan Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan.

Naufal : Makeka! Makeka! Makeka!
Ainin : Ateta! Ateta! Ateta!

Tukang pegang remote control : KLIK!

TV Biru, Merah dan Kuning.
Persandingan Terhebat Abad Ini.

Tema : Perkahwinan Dalam Taman.
Perbelanjaan mengimport bunga-bunga segar dari luar negara : RM puluhan ribu.

Orang yang duduk sebelah tukang pegang remote control : Nak tengok yang mana? Kang aku tutup kang tv tu!

Tukang pegang remote control : KLIK!

TV #
Rancangan iklan selesai.

Dina : Penawar Rindu padamu seorang!
Awik: Saya terima dia sebagai teman artis sebab sekarang dia pun dah jadi artis juga.


P/S : Dina, tak payahlah mimpi nak jadi penyanyi. Simpanlah hasrat murni kamu itu.


Friday, August 25, 2006

Petikan...

“Apa yang sedang kamu mimpikan!” Sergahan Cikgu Rokiah serentak dengan libasan rotan halus di lengan, serta-merta mengejutkan lena Jamilah. Duduknya jadi tegak. Matanya tiba-tiba segar semula.

Jamilah menundukkan wajahnya ke permukaan meja. Gerun hendak menatap wajah bengis Cikgu Rokiah. Berpasang-pasang mata teman sekelas sedang menikam-nikam batang tubuhnya.

“Bapa kamu hantar kamu ke sekolah supaya kamu belajar. Bukannya tidur!” herdik Cikgu Rokiah lagi.

Jamilah masih juga tunduk.

“Berdiri sehingga kelas saya tamat,” kata Cikgu Rokiah. Jamilah diam.

Pelajar-pelajar Tingkatan Tiga D tersenyum-senyum sesama sendiri. Mereka memang sudah biasa melihat Jamilah didenda, hampir setiap hari. Mereka sudah tidak hairan lagi. Tidak siap kerja sekolah, markah paling corot, tidur di dalam kelas. Itulah alasan utama dia didenda.

Hana, pelajar yang duduk di sebelah Jamilah hanya mampu menggeleng-geleng setiap kali Jamilah dijerkah dan didenda. “Sudah nasib kamu, Jamilah,” keluh Hana.

Kelmarin Jamilah didenda berdiri di atas kerusi kerana tidak siap kerja rumah. Semalam dia dirotan kerana tidak menghantar buku latihan. Hari ini dia berdiri sepanjang kelas matematik berlangsung kerana tidur di dalam kelas.

Cikgu Rokiah kembali mengajar mata pelajaran matematik yang tergendala sebentar lagi. Sementara Jamilah pula terus berdiri sambil berkebil-kebil, cuba memahami butir-butir yang disampaikan oleh Cikgu Rokiah. Sehingga tamat kelas, satu apapun tidak difahaminya.

“Apalah hendak jadi dengan kamu ini?” rungut Hana, satu-satunya teman yang memahami Jamilah. Jamilah hanya tersenyum tersengih.

“Berapa markah ujian matematik kamu?” soal Zarina yang lalu di sisi Jamilah untuk ke tandas sebaik sahaja Cikgu Rokiah keluar dari kelas.

Jamilah tersenyum simpul. “Biasa sahaja,” katanya.

Hana melirik ke arah Zarina yang sedang mencebirkan bibirnya.

“Kamu tidak cakap pun saya sudah boleh agak markah yang kamu perolehi. Kamu datang ke sekolah sekadar memenuhkan kedatangan sahaja!” sindir Zarina.

Hana menjeling tajam ke arah Zarina lalu berkata, “Jaga mulut kamu.”
Zarina hanya mencebirkan bibirnya sebelum berlalu pergi.

Jamilah pula hanya tersenyum. “Setakat ini memang belum ada sesiapa pun yang dapat menyaingi kecemerlangan rekod kedatangan saya.” Jamilah sedikit pun tidak tersinggung. Malah kata-kata Zarina umpama satu pujian pula untuknya. “Dia sudah tahu markah saya!” Jamilah tersenyum-senyum lagi. Bangga kerana Zarina dapat mengagak markahnya.

Hana mengeluh. Jamilah dipandangnya sejenak. Mata Hana melirik ke angka 10 yang tertulis di penjuru kanan kertas ujian bulanan matematik milik Jamilah.

Jamilah memang terkenal sebagai seorang pelajar yang lurus. Sudahlah lurus, lembap pula tahap pemikirannya.

Wednesday, August 09, 2006

Islam Terancam

Kontrovesi Lina Joy @ Azlina Jailani mengingatkan saya kepada peristiwa lima tahun lalu. Ketika itu saya masih bergelar Minah Kilang.

Di jabatan saya ada berbagai bangsa dan agama. Melayu, India, sedikit Cina, bangsa Indonesia, suku kaum-suku kaum dari Sabah dan Sarawak semuanya bercampur di situ.

Saya ingin menceritakan perihal rakan sejawatan yang bernama A, yang tidak pernah saya kenali. Ini kerana saya bekerja di tingkat atas dan dia di tingkat bawah. Tambahan pula pekerja di situ memang ramai dan bekerja mengikut syif.

A berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Dia memakai tudung dan tidak pernah membuka tudungnya di hadapan rakan-rakan yang lain. Dia seorang yang suka menyendiri dan pendiam. Sudah mempunyai teman lelaki yang berasal dari Sabah.

Pada satu hari, rakan sebilik A (A tinggal di hostel kilang) mengesyaki sesuatu yang aneh pada A. Gerak-geri A sangat mencurigakan. Setiap hujung minggu dia sentiasa lesap.

Entah bagaimana rakan sebilik A terlihat Bible di dalam almari A. Mereka benar-benar terkejut dengan apa yang mereka lihat. Dengan segera mereka melaporkan kejadian itu kepada Pengurus Sumber Manusia. A segera dipanggil ke Jabatan Sumber Manusia. Soal siasat dijalankan dan almari A di hostel di geledah. Hasilnya sebuah naskhah Bible ditemui. Apabila tudung A dibuka, terlihatlah salib tergantung di lehernya.

Jabatan Agama Islam Selangor segera dipanggil dan A diserahkan kepada mereka. Jabatan Sumber Manusia juga memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa A di Kelantan. Teman lelaki A hilang lesap entah ke mana (seorang penganut Kristian dan bekerja di jabatan yang sama).

A diminta mengucap shahadah tetapi malangnya dia gagal. Lidahnya keras kejung gara-gara holy water.

Sampai sekarang saya tidak tahu apakah akidah A berjaya dipulihkan ataupun tidak.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah sentiasa melindungi akidah kita dan saudara-saudara kita yang lain.

Friday, August 04, 2006

Pesanan Hizbullah.

Pesanan dari tentera Hisbullah - Sayyid Hassan Nasrullah, Pemimpin Hizbullah Lubnan.

"Buat masa ini, kami belum memerlukan bantuan sukarelawan, senjata atau wang. Wahai saudara-saudara kami kaum muslimin, bantulah kami dengan doa dan munajat setiap detik saudaramu untuk kemenangan Islam dan kehancuran Israel. Bacalah Qulhuwallah setiap masa diselangi La Ilahailla Allah sambil memusatkan ingatan kepada kehancuran Israel".

Sebarkanlah wahai saudara-saudara kami...

Wednesday, July 26, 2006

Menulis Untuk Apa?

Dulu saya selalu tertanya-tanya, mengapa saya menulis. Apa tujuan utama saya menulis?

Ada seorang rakan berkata kepada saya, “Akak nak mula menulis ni. Nak kaya cepat!”
Jawab saya, “Saya tak pernah fikir nak jadi kaya.”
“Eh, inilah peluangnya nak jadi kaya. Akak nak tulis banyak-banyak, nak cari duit banyak-banyak. Janganlah fikir nak zuhud saja. Kita perlu kaya supaya boleh bersedekah dan beramal jariah.” Lebih kurang begitulah rakan saya itu membalas kata-kata saya.

Ya, saya tidak menyangkal pendapat rakan saya itu. Tapi pada saya, bukan orang kaya saja yang boleh beramal jariah dan bersedekah. Rakan saya itu mungkin lupa, penulis yang tak kaya pun boleh buat sedekah, buat amal jariah. Harga buku yang sekian-sekian itu apalah sangat jika dibandingkan dengan sesuatu yang bermanfaat yang kita sumbangkan dalam penulisan kita. Oleh itu, pastikan apa yang ditulis itu nilainya lebih besar daripada harga buku itu.

Bukan itu sahaja, penulis juga boleh meniupkan semangat jihad melalui penulisan! Macam yang Faizal Tehrani buat tu. Jangan lupa, mata pena lebih tajam daripada mata pedang!

Kalau tak mampu hulur wang ringgit sebagai sedekah, kita buat amal dengan tenaga kita. Malah, senyum pun sedekah juga.

Sebenarnya saya tidak pernah terfikir menjadi kaya dengan menulis. Walaupun memang diakui ramai penulis yang menjadi kaya, tetapi itu bukan tujuan saya. Namun seandainya ditakdirkan saya kaya kerana menulis, alhamdulillah saya menerima segala rezeki dan kesenangan yang dikurniakan olehNya.

Pada saya cukuplah saya seronok apabila orang seronok membaca karya saya. Cukuplah apabila orang mendapat manfaat daripada hasil penulisan saya. Saya cukup puas hati seandainya hasil titik peluh saya menulis, dapat membantu keluarga saya. Saya tidak pernah terfikir hendak mewah dengan menulis. Cukuplah sekadar hidup selesa.

Tulislah sesuatu yang bermanfaat. Selamat berjuang. Selamat beramal jariah.

Friday, July 21, 2006

Biasa-biasa Saja....

Sebagai penulis, kalau ditanya apa perasaan saya apabila buku saya diterbitkan, saya akan menjawab, biasa-biasa saja. Tapi saya tidak lupa bersyukur, walaupun perasaan saya biasa-biasa saja. Bersyukur kerana buku saya berjaya diterbitkan.

Sebagai penulis, kalau ditanya apa perasaan saya apabila buku-buku saya diletakkan sebelah-menyebelah dengan buku-buku karyawan besar, saya akan menjawab, biasa-biasa saja. Tapi saya tidak lupa bersyukur, walaupun perasaan saya biasa-biasa saja. Bersyukur kerana buku saya ada di kedai buku.

Sebagai penulis, kalau ditanya apa perasaan saya semasa hendak menurunkan tandatangan di atas kertas perjanjian pertama dengan penerbit, saya akan menjawab, biasa-biasa saja. Tapi saya tidak lupa bersyukur, walaupun perasaan saya biasa-biasa saja. Bersyukur kerana sebelum ini saya tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian penerbitan.

Sebagai penulis, kalau ditanya apa perasaan saya apabila saya bergelar penulis, saya akan menjawab, biasa-biasa sahaja. Tapi saya tidak lupa bersyukur, walaupun perasaan saya biasa-biasa saja. Bersyukur kerana saya ada kerjaya.
Tetapi saya kecewa kalau buku saya langsung tidak terbit-terbit ataupun saya tidak melihat buku saya yang dikatakan telah terbit itu.

Cuma yang saya tahu, saya seronok apabila ada pembaca yang merasa seronok membaca buku saya. Hanya seronok. Tidak lebih daripada itu. Mengapa ya? Mengapa saya tidak merasa teruja dengan semua ini? Saya sendiri pun masih tak tahu jawapannya.
Anda bagaimana pula?
Ada sesiapa yang boleh memberikan jawapannya kepada saya?

Friday, June 30, 2006

Rundingan Meja Bulat

“Kita mesti berjuang habis-habisan.” Ikin menepuk meja bulat.

“Ya, mesti!” Saya juga menepuk meja bulat. Bergegar-gegar meja bulat itu. Kesian... apalah salah si meja bulat?

“Ini produk apa?” soal Kak Zam.

“Produk batu,” jawab saya.

“Produk kerikil,” jawab Ikin pula.

“Jadi kita nak letak cop apa?” Kak Zam pandang muka kami.

“Keras!” Saya tersangat yakin.

“Hmm... produk batu dengan cop ‘Keras’. Cadangan lain.” Kak Zam masih tak berpuas hati.

“Padu!” Ikin bersuara.

“Okay juga. Produk batu, cop padu.” Kak Zam mengangguk-angguk.

Kami bertiga terdiam seketika. Otak masing-masing ligat berfikir mencari-cari ‘cop’ lain untuk produk batu kami itu. Produk yang paling banyak masalah berbanding produk-produk lain.

Tiba-tiba Kak Jiwang lalu. Kak Zam menggamit Kak Jiwang supaya menghampiri kami.

“Ada apa-apa cadangan untuk produk batu kami?” soal Kak Zam. Kak Jiwang terdiam. Namun kami pasti otaknya ligat berfikir ketika itu.

Mulut Kak Jiwang baru hendak terbuka.
“Anak Jantan!” kata Kak Zam tiba-tiba. Mulut Kak Jiwang terkatup semula.

“Hmm... produk batu bercop ‘Anak Jantan’. Ada jiwang sikit walaupun masih tetap batu,” kata saya.

“Kita mesti buktikan kepada GM, produk batu kita ini bagus,” kata Ikin penuh semangat.
“Ya, mesti. Kalau tidak, meraunglah aku,” kata saya penuh pengharapan.

Kak Zam hanya angguk-angguk.

Rundinga meja bulat berakhir pada petang itu.

Jumaat, 30 Jun 2006. Rundingan meja empat segi pula bakal berlangsung. Penentu segalanya. Selamat berjuang.

Chayok!
Chayok!
Chayok!

Tuesday, June 27, 2006

Kisah Seram

Ajis memang kaki pancing. Mana saja ada lubuk & sungai semua dia pergi. Kalau ada yg cakap kat sungai tu ada ikan, Ajis mesti pergi try mancing kat situ.
Satu hari masa minum kat kedai kopi Pak Ngah Jiman, Ajis terdengar rakan2 sekampungnya bercerita tentang satu ubuk baru yg banyak ikan ditemui kat sungai di kampung seberang. Kampung tu agak jauh & pedalaman sungai tu lebih kurang 5 km dr kampung tu, dekat tepi pinggir hutan.
Tengahari tu, Ajis dah bersiap nak pegi memancing kat lubuk yg diceritakan. Siap pakai helmet, Ajis masukkan bekalan minum petang dan pancingnya dlm raga motor. Sepanjang perjalanan Ajis bernyanyi riang. Jauh jugak nak ke kampung seberang tu. Dah hampir masuk waktu Asar baru Ajis sampai. Teringat pulak, dia tak sempat solat Zohor tadi & dia terpikir, karang kalau terus pi sungai tu, tak sempat plak solat Asar.
Tak lama kemudian Ajis nampak sebuah surau yg agak uzur kat tepi jalan sunyi kampung tu. Dia berhenti, ditengoknya keliling tak ada orang. Sunyi saja surau tu. Ajis segera mengambil wuduk dgn tergesa2 sbb waktu Zohor dah hampir nak habis.
Masa Ajis pada rakaat kedua, dia tiba-tiba terdengar bunyi suara orang ketawa. Bulu romanya tiba2 meremang, "Hish, sapa pulak yg gelak2 tu?" bisik hati Ajis, setiap kali Ajis sujud, Ajis terasa kepala & tengkuknya berat dr biasa, Ajis tak sedap hati, ni surau tinggal ker, sbb dah uzur sangat dan alahai, sapa pulak duduk kat tengkuk dia ni. Sedaya-upaya Ajis tenangkan hati, selesaikan solat dgn segera, dia nak tinggalkan cepat surau tu. Bulu romanya semakin meremang-remang sbb suara org ketawa semakin ramai, ada yg sampai terbatuk-batuk. Syukur, Ajis dah berada di tahiyat terakhir, selesai memberi salam ke kanan dan ke kiri, Ajis meraup mukanya dgn tangan dr atas ubun2 kepala sampai ke dagu, then tiba-tiba Ajis tersedar.
Hehehe...rupa-rupanya dia terlupa nak tanggalkan helmet masa nak sembahyang tadi, sbb terlampau nak cepat, bila dia toleh belakang, patutlah dengar orang ketawa, rupa-rupanya tok imam, bilal dan orang2 kampung yg dtg nak sembahyang Asar duk gelakkan dia sebab Ajis sembahyang pakai helmet, patut ler kepala dia rasa berat semacam.
Terus Ajis blah macam tu ajer, tak jadi pi memancing. Dia pusing balik, sembahyang Asar kat rumah sendiri sajalah jawabnya..
Moral : Kalau ye pun nak cepat, takkan tak perasan ada helmet kat atas kepala masa nak wuduk. Tau ambik wuduk ke tidak?

Saturday, June 17, 2006

Rahim Kaki Buli

“Tiadakah hidangan minum petang untuk saya. Jauh-jauh saya datang, segelas minuman pun tidak dihidang,” Rahim bersungut-sungut.
Rahim adalah sepupu Melah Melia yang tinggal di sebelah rumah. Setiap hari apabila dia lapar, pasti rumah Pak Osman yang ditujunya.

“Buatlah cekodok untuk saya wahai Cik Melah Melia,” arah Rahim.
“Saya banyak kerja sekolah,” jawab Melah Melia, acuh tidak acuh. Sesekali dia mencium tuala busuknya. Matanya menyorot ke arah beberapa kertas ujian yang baru sahaja dikembalikan oleh guru-gurunya. Ia menanti masa sahaja bagi disemak semula. Walaupun dia sudah menyemak kertas ujian itu disekolah bersama Syamimi dan Maimun, namun dia masih belum berpuas hati.

“Cekodok yang dibuat oleh Melah adalah cekodok paling sedap di dunia,” kata Rahim bersungguh-sungguh.

“Benarkah?” bisik Melah Melia. Terasa kembang hatinya apabila dipuji oleh Rahim. Senyuman Melah Melia tiba-tiba berbunga di bibirnya.

“Lekaslah buatkan cekodok untuk saya,” gesa Rahim. Ketika itu Pak Osman baru sahaja pulang dari kebun pisangnya.

“Kamu tidak habis-habis hendak membuli Melah,” ujar Pak Osman.

“Bukannya membuli. Sekadar hendak bermanja,” Rahim berdalih.
Bagi Melah Melia pula, Rahim tidak pernah membulinya. Hanya dia gemar mengusik dan menyuruh Melah Melia memasak.

“Baiklah, saya akan buatkan cekodok sekarang,” kata Melah Melia. Hatinya merasa girang apabila ada yang menyukai hasil olahan tangannya. Sebelum ke dapur, Melah Melia meletakkan tuala busuknya di atas meja.

Sebaik sahaja Melah Melia hilang dari pandangan, Rahim menjinjit tuala busuk milik Melah Melia dengan ibu jari dan telunjukknya. Mukanya mencemik tatkala tuala busuk itu semakin hampir ke hidungnya.

Pak Osman sekadar menggeleng-geleng melihat gelagat Rahim dan Melah Melia. Melah Melia seorang yang lurus lagi naif. Rahim, anak saudaranya itu sering mengambil kesempatan di atas kelurusan Melah Melia.

“Di rumah kamu tidak ada makanankah?” soal Pak Osman. Wajahnya serius tanpa senyuman. Serba salah dirinya hendak memarahi Rahim. Bimbang pula sekiranya Pak Leman, abang sulungnya akan berkecil hati.

“Salahkah saya hendak bermanja. Bukankah saya tidak punya adik perempuan?” Rahim mula memancing simpati Pak Osman. Wajahnya sengaja ditundukkan. Pak Osman menghela nafas dalam-dalam sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tidak lama kemudian, Din masuk ke dalam rumah sesudah puas bermain bersama anak-anak jiran.

“Mari sebentar!” Rahim memanggil Din.

“Ada apa Acik Rahim memanggil saya?” Anak kecil itu bertanya.
“Pijak-pijaklah belakang saya ini. Badan saya terasa sakit-sakitlah. Tadi saya baru selesai menolong atuk menanam pisang,” Rahim berbohong.

Pak Osman menggeleng-geleng beberapa kali. Walaupun sudah sering dimarahi, sikap Rahim yang suka membuli dan mengambil kesempatan, begitu sukar dikikis.

“Saya mahu menonton televisyen,” jawab Din. Bibirnya muncung ke hadapan.

“Bibir Din serupa benar dengan penyangkuk kole di dapur saya,” usik Rahim. Din yang berusia lima tahun itu buat endah tidak endah sahaja.

“Sebentar sahaja. Pinggang saya sakit sangat,” rayu Rahim. Dia sengaja menyeringai dan berlakon seperti sedang menanggung kesakitan. “Aduh! Aduh!” Rahim pura-pura mengaduh sambil mengurut-urut pinggangnya.

“Bila agaknya kamu hendak membuang tabiat kamu itu?” tegur Pak Osman. Rahim sekadar tersengih.

“Lekaslah,” desak Rahim kepada Din tanpa menghiraukan katak-kata bapa saudaranya.

“Tidak mahulah. Saya mahu menonton Power Rangers,” balas Din.

“Nanti saya beri upah. Coklat, kamu mahu?” Rahim cuba mengumpan. “Televisyen di depan itu sahaja. Sambil menonton, sambil memijak-memijak belakang badan saya,” cadang Rahim.

Din terfikir-fikir sejenak. Menonton Power Rangers dapat, coklat pun dapat juga.
“Baiklah! Baiklah!” kata Din. Serentak dengan itu, Rahim meniarap sambil berbantalkan kusyen di ruang tamu itu. Din pantas melompat ke atas belakang Rahim.
“Aduh!” Rahim menjerit kesakitan. Air liurnya tersembur keluar. “Perlahanlah sedikit. Janganlah melompat,” marah Rahim.

Pak Osman tertawa melihat gelagat Rahim dan cucunya, Din.
“Rasakan....” Pak Osman menahan geram di hatinya.

Sementara di dapur, Melah Melia sudah hampir selesai menyudahkan gorengannya. Hanya tinggal menghidang sahaja.

“Cekodok paling sedap di dunia sudah tiba,” kata Rahim sebaik sahaja Melah Melia menghidangkan hidangan petang yang dimintanya.

“Jemput minum, ayah.” Melah Melia mengunjukkan secawan teh O untuk Pak Osman.
Sementara Rahim yang sedang dipijak-pijak oleh Din, sudah tidak sabar-sabar lagi hendak menikmati cekodok yang masih berasap dihadapannya itu. Din yang menonton aksi Power Rangers yang sedang bertarung di televisyen, turut melompat-lompat dan menggayakan aksi heronya itu di atas belakang badan Rahim tanpa disedari.

“Aduh! Sakit!” jerit Rahim. Pak Osman dan Melah Melia tertawa melihat aksi Din di atas badan Rahim.

“Jangan melompat-lompat!” tegah Pak Osman. Din hanya tersengih.

“Sudahlah. Badan saya semakin sakit dibuat oleh kamu,” marah Rahim. Din melompat turun dari atas badan Rahim. Pantas Rahim duduk bersila di hadapan Melah Melia dan Pak Osman. Cekodok yang terhidang, segera menggamit seleranya.
Sesudah puas menikmati hidangan petang, Rahim berhajat hendak pulang pula. Ketika itu Pak Osman sudah menghilangkan diri di dalam bilik mandi. Barangkali sedang membersihkan diri bagi menunaikan solat Asar.

“Mana coklat saya?” tanya Din sebaik sahaja Rahim hendak melangkah pulang.

“Tidak ada coklat!” kata Rahim. Wajahnya kelihatan serius sahaja.

“Saya mahu coklat. Acik Rahim sudah berjanji!” kata Din.

“Siapa suruh kamu melompat-lompat di atas belakang badan saya? Sakit badan saya, tahu?” jerkah Rahim. Mata Din mula bergenang air mata. Bibirnya mula mencebir-cebir.
Jerkahan Rahim itu menarik tumpuan Melah Melia yang sedang menyudahkan kerja sekolahnya.

“Acik Rahim sudah berjanji. Acik Rahim bohong!” jerit Din. Rahim menjelirkan lidahnya kepada Din.

“Din Botak hendak menangis! Din Botak hendak menangis!” ejek Rahim. Tidak sepadan dengan usianya yang sudah menginjak lima belas tahun, sikap Rahim masih kebudak-budakkan.
Memang benar telahan Melah Melia semalam. Pasti Din menjadi mangsa ejekkan Rahim apabila kepalanya dibotakkan malam tadi.

“Apabila kamu ke mari, pasti Din akan menangis,” ujar Melah Melia. Rahim menjelirkan lidahnya kepada Melah Melia pula.

“Acik Rahim jahat! Acik Rahim bohong!” Din sudah mula menangis. Rahim menjelirkan lidahnya lagi sebagai membalas kata-kata Din. Tangisan Din semakin bergema. Rahim lekas-lekas meninggalkan rumah Pak Osman sebelum Zamri dan Suraya pulang dari pejabat. Bimbang dia akan dimarahi oleh Zamri dan Suraya kerana membuli anak mereka.

“Sudahlah. Jangan menangis lagi,” pujuk Melah Melia. Simpati terhadap anak saudaranya itu tiba-tiba datang berbondong-bondong. Telapak tangannya mengusap-usap kepala botak Din.
“Gemar sungguh Rahim membuli Din,” gumam Melah Melia. Tanpa disedari, dia juga sebenarnya sudah dibuli dan dipergunakan oleh Rahim.

Sunday, May 28, 2006

Jiran

“Datanglah rumah akak petang ni. Ada makan-makan sikit,” Kak Bedah tersenyum-senyum di depan pintu rumah saya.

“Eh... apa sesapa nak buat demo ker?” saya tersenyum-senyum juga. Saja-saja pasang perangkap (dah boleh agak dah).

“Ha’ah. Ada orang bawa barang Butyfly. Boleh kuruskan badan.” Kak Bedah senyum-senyum. Tak boleh nak elak.

Saya tersenyum-senyum. Kak Bedah pun senyum-senyum juga.

“Tak janjilah, kak. Petang nanti saya nak keluar.” (Taktik nak mengelak le tu)

“Sekejap aje. Lepas asar. Ada makan-makan sikit.” Kak Bedah ulang lagi ‘ada makan-makan sikit’ tu.

“Kalau cik abang saya kata tak jadi keluar, saya datanglah.” Saya masih juga senyum-senyum. (Harap-harap cik abang cepatlah balik. Cepatlah keluar...)

“Datang ye. Jangan tak datang.” Kak Bedah berlalu pergi sambil tersenyum penuh harapan.

Saya pun masih lagi tersenyum. Lega sebab Kak Bedah sudah berlalu ke rumah jiran sebelah pulak.

Jam 5.00 petang, cik abang tak balik lagi. Kak Bedah dah tercegat di depan pintu rumah.

“Marilah ke rumah akak.” Kak Bedah sudah tidak senyum lagi. Kak Bedah buat muka kesian pulak.
“Alahai... kak. Cik abang saya on da way nak balik ni. Maaflah, kak.” Saya pun buat muka kesian juga.

“Ye? Tak apalah...” Muka Kak Bedah semakin sedih.
“Maaflah, kak. Memang tak boleh.” Muka saya pun makin sedih (sebab terpaksa hampakan harapan Kak Bedah yang menggunung-gunung tinggi tu).

Kak Bedah berlalu dengan kecewa.

p/s : Ada sesiapa boleh beri cadangan cara-cara nak mengelak dari menghadiri acara ‘party-party’ dan acara ‘demo-demo’ ni?


Tuesday, May 23, 2006

Gempar! Gempar! Gempar! Adik Superman Muncul Di Malaysia!

Sesuatu yang menggemparkan. Adik Superman muncul di Malaysia. Lebih menggemparkan, pemuda yang didakwa sebagai Adik Bongsu Superman itu sedang menyorok di Jabatan Editorial PTS.
Pemuda yang dimaksudkan sudah menghasilkan beberapa novel yang berjudul 'Untuk Syampoo', 'Bergaduh dan Menari' dan 'Rahsia Firdaus'. Kini pemuda itu sedang bertungkus-lumus menyiapkan komik 'Orang Kuat' untuk terbitan PTS.
Awas! Jabatan Editorial PTS bakal bergegar...

Wednesday, May 10, 2006

Patutkah?

Patutkah?Memang tak patut...

Patutkah?
Memang tak patut...

Patutkah?Memang tak patut...

Wednesday, May 03, 2006

Doktorku, doktor gigi...

Gigi sakit berdenyut-denyut. Aduh! Aduh! Dalam kepala terbayang doktor yang lemah-lembut di Klinik Huda.

Pelayan klinik memanggil nama saya. Saya pun masuk ke dalam bilik itu. Biar dikerjakan sahaja gigi yang mengganggu lena saya sejak beberapa malam ini.

Saya duduk di kerusi baring. Tiba-tiba...

“Gigi mana yang sakit?”
Serta-merta saya menoleh ke arah suara itu. Hah? Doktor lelaki! Hati saya menjerit. Mana doktor comel yang biasa tu?

“Sini... sini...,” tergagap saya menjawab sambil menunjuk kepada gigi yang sakit itu. “Kalau boleh saya nak tampal. Saya sayang gigi saya,” kata saya. Sebenarnya itu adalah alasan lain untuk mengurangkan bayaran.

Alamak! Lengan doktor ni berbulu. Macamana kalau bulu tu jatuh dalam mulut saya? Kenapalah doktor ni tak pakai baju lengan panjang?

Doktor cucuk gigi saya yang sakit.
“Auwww!” Nak kena penyekeh doktor ni. Dahlah sakit, dicucuk-cucuk pulak.

“Gigi puan dah terbelah. Tak boleh diselamatkan lagi.”
Kopaklah duit aku!
“Tak apalah, doktor. Buatlah apa sahaja asalkan hilang sakitnya,” kata saya. Dalam hati saya menangis kerana, KOPAKLAH SAYA!

“Nak kena buat pembedahan kecil ni. Nak tarik akar.”
Hah! Pembedahan? Aduh! Bukan sebab sakit. Sebab, MAKIN KOPAKLAH AKU!

“Okey,” jawab saya lemah.

Satu das bius, cucuk di gusi. Aduh! RM terbang!
Dua das bius, cucuk di gusi. Aduh! RM lagi!
Tiga das... empat das... berdas-das RM melayang. Aduh!

“Doktor, kenapa kepala saya kebas sebelah? Hidung kebas sebelah. Telinga kebas sebelah! Pipi pun kebas sebelah!”
“Ye ke? Sepatutnya tak jadi macam tu,” doktor mula panik.

Ya, Allah! Panjangkanlah umurku. Anak-anakku masih kecil-kecil. Huwaaa!

Nak kena saman agaknya doktor ni!

Doktor yang lengannya berbulu itupun mula merobek-robek gusi saya. Tiba-tiba...
“Arrgghh!” Akar gigi saya hampir jatuh ke dalam kerongkong. Saya nak menjerit!
Siap semuanya, saya ke kaunter.
“RM 90, puan.” Pelayan klinik tersenyum manis kepada saya.

Melayang RM 90 saya. Huwaaaaa!



Monday, April 17, 2006

OREN! Mari Beli OREN!


Mengisahkan suka-duka kehidupan seorang kanak-kanak bernama Adilah. Kisah-kisah Kehidupan di zaman kanak-kanak yang barangkali pernah ditempuhi oleh pembaca. Pasti akan terimbas kembali kehidupan pada zaman kanak-kanak yang pernah kita lalui dahulu.

Monday, April 10, 2006

Suatu Pagi Sabtu

H/p menjerit-jerit pagi Sabtu itu.
‘Tengah sarapan ker? Jadi ke bengkel hari ni.’ Sms dari Shikin.

‘Okay, pergi. Baru balik dari pasar ni. Tunggu kat bus stop ye.’
Sms balasan saya untuk Shikin.

“Mari sarapan,” kata saya. Kami pun bersarapan sekeluarga.

Jeritan h/p menghentikan kunyahan saya. Terpapar nama ‘alip’ di skrin h/p.
“Tak pernah-pernah mamat ni telefon aku,” kata saya sendirian.

“Bengkel mula pukul berapa?” tanya suara di hujung sana.
“Macam biasa... pukul 10. Kat mana ni?”
“KL Sentral.”
“Okay, jumpa kat sana.”

Saya menyambung acara makan-makan pagi.
Tiba-tiba berlinta sesuatu dalam kepala. H/p saya capai.
‘Naik LRT kan? Tunggu akak kat bus stop depan Stesyen Taman Melati’ sms saya untuk pemanggil tadi.
‘Okay.’ Sms balasan dari orang di sana.

Saya kembali menyambung acara makan-makan. Tiba-tiba...
‘Alamak! Tiket kami sampai Wangsa Maju aje’. Sms saya terima lagi.
Kami? Siapa lagi dengannya? Ah... gasaklah. Muat lagi untuk satu penumpang.

‘Turun kat Wangsa Maju, beli satu tiket lagi ke Taman Melati’. Sms balasan saya.
‘Okay’. Saya terima balasan sms tatkala hendak menyambung suapan yang sudah gagal beberapa kali.

‘Kak kat mana?’ sms dari Shikin pula menggagalkan lagi suapan saya.
‘Tunggu kejap. Kita ada dua lagi penumpang’. Itulah balasan saya untuk Shikin.

Saya bersiap-siap.

‘Kami dah sampai kat bus stop. Ko kat mana ni?’. Sms saya terima lagi. Kali ini dari dari teman si pemanggil pertama.
‘Okay, kejap lagi aku sampai’, itulah sms balasan dari saya.

Kapten dah siap sedia hendak menghantar saya. Ada seorang askar kecil hendak mengikut kami pula.

Tiba di bus stop, saya melambai seorang gadis. Shikin. Langkahnya diekori oleh seorang gadis lagi.

‘Alamak! Dia bawak kawan? Macam mana ni? Muat ke ni?’ Saya dan kapten saling berpandangan.
Mana pulak teruna yang berdua itu? Mata saya terpandang seorang jejaka berketayap dan seorang temannya.

“Hey... sedara! Tunggu sapa tu? Lekas masuk!” saya melaung dari dalam kereta. Kemudian saya berpandangan lagi dengan kapten. Kami terdiam tidak terkata.

Teruna yang berdua itu mula masuk ke dalam kereta. Bergoyang-goyang kereta kami apabila kedua-dua teruna itu mula menyumbatkan diri mereka ke dalam kereta kami.
Pagi Sabtu itu, Alif, Zafran, Ashikin dan Ida Munira himpit-menghimpit di tempat duduk belakang. (he he he)

Askar kecil pula duduk di riba saya. Naik bukit... naik jejambat... kapten terpaksa tekan minyak kuat-kuat. Terasa kereta tak boleh bergerak. Kaki saya spontan ikut seperti menekan pedal minyak.

“Lahh... kenapalah aku tak suruh si Alip duduk kat depan.” Saya menepuk dahi.



Tuesday, April 04, 2006

Barulah Sepadan...

“Mana seluar?” pakwe saya bertanya.
“Itu... yang tergantung tu!” Muncung saya mengarah ke satu arah. Tidak lama kemudian saya mencapai sehelai blaus dari ampaian. Baju budak-budak pun saya capai sekali lalu. Semuanya masih lembap.

“Tak sempat kering pulak baju ni,” rungut saya. “Ah... bila dah lekat di badan, lama-lama keringlah,” bisik saya dalam hati.

Tidak lama kemudian, pakwe saya sudah pun siap berpakaian. Seluar slack lembap tadilah yang disarungkannya. Saya juga sudah siap mengenakan blaus yang baru saya capai dari ampaian tadi. Budak-budak pun sudah siap-sedia. Mereka juga masing-masing memakai pakaian yang masih lembap.

“Tengok pakwe kamu tu... seluarnya entah berapa garisnya,” tegur bonda saya.
“Alah... sengaja tak gosok. Mana boleh dia pakai smart, kalau kita pakai selekeh. Biarlah sama-sama selekeh... barulah sepadan,” balas saya sambil meneliti blaus kedut seribu yang saya ambil dari ampaian tadi.

“Lekaslah... dah petang ni. Nanti lambat pulak sampai K.L,” kata pakwe saya.
“Harap-harap tak hujan lagi petang ni,” doa saya dalam hati.

Thursday, March 16, 2006

Dunia Elena

“Esok papa cina akan datang ke sini,” Pakcik Manan bersuara ketika mereka sekeluarga sedang menonton televisyen.

Elena tiba-tiba merasa kecut perut. Peristiwa hitam sewaktu kecilnya dahulu mula mengintai kotak memorinya. Bapa kandung yang seumpama orang asing itu pernah menculiknya sewaktu kecilnya. Rentetan peristiwa itulah yang menyebabkan Elena menghadapi krisis identiti ketika ini.

“Saya tidak mahu bertemu dengannya,” kata Elena perlahan.
“Mama tidak fikir itu adalah tindakan yang bijak. Papa cina ada hak melawat kamu,” pujuk Mama Zaiton.
“Saya tidak suka papa cina,” Elena masih lagi bersungut-sungut. “Bagaimana sekiranya dia melarikan saya lagi?” ujarnya lagi. Pakcik Manan dan Mama Zaiton saling berpandangan.
“Abang akan jaga kamu. Abang akan berada di sisi kamu apabila papa cina datang melawat,” Fariz bersuara tiba-tiba. Dia juga bimbang Ah Wong akan melarikan Elena lagi. Ketika Elena dilarikan dahulu, Mama Cindy dan Mama Zaiton menangis siang dan malam. Dia dan Haryati juga resah-gelisah dengan kehilangan itu. Mereka semua sayangkan Elena.


“Papa cina tidak akan melarikan kamu lagi. Bukankah sudah beberapa kali dia datang ke sini? Dia baik, bukan?” pujuk Pakcik Manan pula. Elena terdiam mendengar kata-kata bapa angkatnya.
“Papa cina juga sayangkan kamu.” Mama Zaiton bersuara lembut.
“Lagipun kamu sudah besar, sudah berat. Papa cina tidak kuat hendak melarikan kamu lagi,” usik Haryati yang sejak tadi hanya mendiamkan diri. Mereka menyambut kata-kata Haryati dengan ketawa.
“Papa cina tidak akan melarikan kamu lagi. Sekiranya dia berbuat demikian, mahkamah serta-merta akan memberikan hak penjagaan penuh kepada mama dan papa,” jelas Mama Zaiton.


Penjelasan Mama Zaiton begitu melegakan hati Elena.
Sejak kecil, Elena sentiasa didedahkan mengenai identitinya yang sebenar. Mama Zaiton, Mama Cindy dan Pakcik Manan tidak mahu Elena terus keliru dengan identitinya.


“Kami jamin, dia tidak akan berani berbuat demikian,” Pakcik Manan bersuara yakin. Hati Elena bertambah tenteram. Kata-kata Mama Zaiton dan Pakcik Manan memang benar.
“Walau apapun, darah yang mengalir dalam tubuh kamu adalah darahnya. Sampai bila-bila hubungan kamu dengannya tidak akan terputus,” Mama Zaiton bersuara lirih. Elena tertunduk mendengar kata-kata Mama Zaiton. Entah mengapa dadanya sebak tiba-tiba.
“Sambutlah kedatangannya dengan baik. Bukannya selalu dia ke mari,” pesan Pakcik Manan pula. Elena hanya mengangguk perlahan.
“Jangan bimbang, esok abang akan jadi pengawal peribadi kamu.” Fariz bersuara sambil mengangkat kedua-dua belah lengannya, bergaya seperti seorang ahli bina badan. Mereka semua mentertawakan gelagat Fariz yang kelihatan lucu dengan mimik muka yang sengaja dibuat-buat.

Saturday, March 11, 2006

Sepi sendiri


Aku pandang ke kanan
Aku toleh ke kiri
Tiada sesiapa.

Aku berpaling ke belakang
Dua buaian sedang tergantung
Aku sendiri, sepi....

Thursday, March 02, 2006

Istimewa : Insan Si Penguji Kesabaran

Pernahkah kita ditemukan dengan orang yang sering menimbulkan kemarahan dan sakit hati orang-orang di sekelilingnya? Apa tindakan kita? Menghamburkan marah? Bersabar dan berdiam diri? Meninggalkan mereka sendirian? Terus menjauhkan diri daripada mereka?
Saudara A, Pakcik B dan Saudara C adalah insan-insan yang tergolong istimewa pada perkiraan saya. Pasti ramai yang menggeleng-gelengkan kepala dengan kenyataan itu. Sering menyakitkan hati dan mencetuskan kemarahan boleh digolongkan sebagai istimewa?


Saudara A, seorang remaja yang tidak peduli dengan orang lain. Membuat sesuatu perkara yang disukainya tanpa memikirkan perasaan orang-orang disekelilingnya. Saya fikir, dia tidak berniat menyakiti hati sesiapa. Tinggal di rumah orang tuanya, dia pasti akan menjadi punca kemarahan ibu dan bapa. Apabila tinggal di rumah nenek, juga sering menyakiti hati saudara-mara di kampung pula. Tinggal di rumah pakcik dan makcik, juga begitu. Malah sehingga mereka merasa tidak senang dengan kehadirannya. Ibunya sendiri pernah menitiskan air mata mengenangkan sikap Saudara A yang sering kali menjadi buah mulut saudara-mara. Ibu mana yang tidak sedih dan malu?

Namun Saudara A seorang yang sangat menyayangi kanak-kanak malah menjadi tempat mereka bermanja. Sepanjang mengenalinya juga, tidak pernah saya melihatnya marah. Malah apabila dia dimarahi, dia hanya berdiam diri dan adakalanya tersenyum-senyum sahaja. Sering kali juga dia mengajak orang yang memarahinya itu berbual-bual pula.
Pakcik B juga begitu. Sikapnya sering mencetuskan kemarahan dan kerap kali merunsingkan hati isteri dan keluarganya. Malah ipar-duainya pernah berkata, membantunya samalah seperti memikul biawak hidup. Namun seperti Saudara A, Pakcik B juga hanya mendiamkan diri apabila dimarahi. Jarang sekali dia membalas kata.


Walaupun begitu, Pakcik B seorang yang sangat bermurah hati apabila berduit. Setiap kali ada kenduri-kendera, barang-baranag yang disumbangkan melebihi sumbangan orang lain. Malah kadang-kala lauk-pauk dan sayur-mayur di rumah ipar-duainya, dia yang akan dibeli (ketika itu dia memang banyak wang). Menjelang hari raya pula, segala kelengkapan rumah mertua, dia yang akan siapkan.

Begitu juga halnya dengan Saudara C. Tidak kurang hebatnya dengan Saudara A dan Pakcik B. Ke mana sahaja dia pergi, pasti akan mengakiti hati orang lain. Dia juga seorang yang gemar mengusik. Usikkannya itu sering kali melebihi batas dan menimbulkan rasa marah. Saudara C, sejak zama persekolahannya lagi sudah membuatkan ayahnya sendiri memusuhinya. Malah kedua-dua beranak itu tidak pernah mesra. Pernah Saudara C mengadu kepada seorang saudara, betapa bencinya si ayah terhadapnya. Dia juga mahukan kasih-sayang dan kemesraan daripada ayahnya. Si ibu kerap kali menangis melihat layanan yang diterima oleh Saudara C daripada ayahnya. Saudara C juga sama seperti Saudara A dan Pakcik B, hanya mendiamkan diri apabila dimarahi, malah jarang sekali saya melihatnya marah.

Saudara C juga seorang yang tidak kedekut. Dia pernah mendapat pampasan RM150k akibat kemalangan yang dialaminya. Ketika itu tanpa banyak soal, dia memberikan sahaja wangnya kepada saudara-mara dan teman-temannya yang meminta. Waktu itu dia tidak ubah seperti gula yang sedang dihurung semut. Orang tuanya sendiri pun tidak tahu ke mana habisnya wang pampasan itu.

Julai 2004, ketika pulang bercuti di kampung, kami dikejutkan dengan kematian Pakcik B. Selama ini Pakcik B tidak pernah sakit tenat. Tubuh badannya yang sasa tidak sedikit pun menunjukkan yang dia sedang menderita. Amat memeranjatkan. Namun saya tidak terkilan kerana sempat menziarahinya ketika dia sedang koma dan dapat menziarahi jenazahnya. Pakcik B mengembuskan nafs terakhir pada usia 42 tahun.

Dua minggu selepas kematian Pakcik B, kami sekali lagi dikejutkan dengan kematian Saudara C, akibat kemalangan jalan raya. Amat mengharukan, ayah yang selama ini memusuhi yang mengeluarkan tubuh kaku Saudara C daripada van yang terbalik, tanpa pertolongan sesiapa. Terkilan sungguh saya kerana tidak berpeluang menziarahi jenazah, kerana mereka menetap di Segamat. Kali terakhir kami bertemu, kira-kira setahun sebelum kematiannya. Ketika itu allahyarham pulang bercuti di kampung bagi menyambut hari raya. Saudara C meninggalkan kami pada ketika usianya mencecah 25 tahun.

Empat bulan selepas kematian Pakcik B dan Saudara C, ketika umat Islam baru seminggu menjalani ibadah puasa, kami sekali menerima kejutan. Kali ini, Saudara A pula ditimpa kemalangan. Seminggu sebelum Aidilfitri menjelang, Saudara A menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kali ini saya tidak ralat malah berpuas hati kerana dapat berbuat sesuatu sejak hari pertama allahyarham dimasukkan ke ICU sehinggalah pada kematiannya. Malah berkali-kali saya menatap wajahnya setiap kali saya menziarahinya di hospital. Selama dua minggu Saudara A koma dan selama itulah juga saya berulang-alik beberapa kali ke hospital. Pada hari kematiannya, telefon bimbit sayalah yang pertama dihubungi oleh doktor.

Tanpa disedari, sudah dua tahun rupanya pemergian mereka. Kehadiran mereka suatu masa lalu, sering membuatkan hati dihimpit-himpit kebencian. Kerap kali kemaraham dilampiaskan terhadap mereka. Namun kerana sikap itulah juga yang membuatkan kami terasa-rasa akan kehilangan mereka. Lebih-lebih lagi pemergian mereka dalam tempoh masa yang begitu hampir belaka dan berturutan pula.

Buat pertama kalinya, ketiga-tiga wajah itu tidak lagi kami lihat pada pagi hari raya tahun itu.
Ketiga-tiganya meninggal di usia yang masih muda, malah dua daripada mereka masih bujang. Kerap kali terlintas di fikiran saya, apakah kehadiran mereka itu adalah sebagai penguji kesabaran buat kami? Allah Maha Mengetahui....

Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Amin.



Wednesday, March 01, 2006

Mengenang Kepahitan Lalu

“Woi, budak! Mana kau pergi, hah?” satu suara di hujung talian mengejutkan saya sebaik sahaja saya menyapa si pemanggil. “Payahnya nak dapat kau ni. Hand set tak dapat, telefon rumah pun tak dapat. Berkali-kali akak call, tak pernahnya dapat,” suara wanita di hujung talian kedengaran bersungut-sungut.
Sesudah berbasa-basi, si pemanggil berkata, “akak ni nak minta kau tulis novel. Lapan buah, ya.” Saya menelan air liur. Kalau satu bolehlah saya usahakan. Lapan? Satu novel pun terkial-kial....
“Paymentnya macamana?” saya bertanya kerana itulah kali pertama saya diminta menulis novel. Sememangnya saya tidak pernah menghasilkan walau sebuah novel pun sebelum itu. Saya hanya menghantar siri cerita kanak-kanak sahaja kepada penerbit itu.
“Kalau tulis lapan novel sekali, kami akan bayar untuk kelapan-lapannya. Kalau hantar satu, kami akan bayar apabila kami menerima naskhah novel kedua. Kalau hantar dua naskhah, kami akan bayar untuk satu naskhah. Apabila kau hantar naskhah ketiga, barulah kami akan bayar untuk naskhah kedua. Begitulah seterusnya.”
Payah! Memang payah kalau begitu syaratnya.
“Ikut pada ketebalan skrip. Kalau tebal, bayarannya pun teballah,” tambah pengurus penerbitan itu lagi.
“Saya cubalah....”
Sebulan kemudian, saya menghantar naskhah pertama.
“Macamana, kak? Okay?” tanya saya ketika bertanyakan mengenai skrip novel saya itu.
“Ok,” jawab pengurus merangkap editor merangkap entah apa-apa lagi tu.
“Paymentnya?” saya bertanya lagi.
“Macam yang akak cakap dululah.” jawabnya.
“Tapi payahlah....”
“Ok, untuk kau akak akan bayar sekarang. Ni akak belum buat apa-apa pun pada novel kau tu, terus je hantar kat bos. Tapi kau mesti janji akan hantar sampai lapan tau. Kalau tak dapat, carilah kawan-kawan yang boleh menulis,” kedengaran suaranya seperti orang yang kelam-kabut sahaja.
“Tolonglah... hantar lagi, ya,” wanita itu merayu.
“Oklah,” jawab saya dalam terpaksa.
“Janji tau. Kalau tidak, silap hari bulan akak yang terpaksa tulis novel tu,” katanya lagi. “Kalau kau tak larat, tak mengapalah. Nanti akak combinelah dengan penulis lain,” katanya lagi.
Dulu katanya, seorang penulis mesti hantar lapan novel. Sekarang tak mengapa pulak kalau hantar satu atau dua novel sahaja. Mana satu nak ikut ni? Dulu cakap lain, sekarang cakap lain.
Apabila saya tengok kalendar....
Patutlah... ketika itu sudah hampir ke penghujung tahun. Deadlinenya dah dekat. Rupa-rupanya dia nak buat senang kerjanya dengan memerah dan mengkulikan saya. Tak perlulah dia ke hulu ke hilir mencari penulis yang sanggup menjual skrip kepadanya. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi syarikat penerbitan itu hendak menerbitkan buku-buku mereka bagi terbitan tahun hadapannya. Lalu penulis dungu seperti saya inilah yang dikerah dan diperas. (Sememangnya pada ketika itu saya baru pertama kali menjejakkan kaki ke dunia penulisan. Tidak tahu apa-apa.)
Namun, saya berhenti setakat tiga novel sahaja dengan mereka. Tidak berbaloi langsung. Satu novel, hanya dibayar RM500 sahaja. Malah janji mereka hendak menebalkan bayaran juga hanya tinggal janji, apabila novel kedua saya yang jauh lebih tebal itu juga, dibayar dengan harga yang sama.
Jika novel pertama dahulu, bayarannya saya terima hanya menunggu masa sekitar beberapa minggu sahaja. Namun bagi bayaran novel kedua, saya menunggu masa sehingga dua bulan dan skrip novel ketiga juga sudah dihantar.
“Alamak... bos belum isue cek pulak.”
“Alah... cek dah ada tapi bos belum sainlah.”
“Bos sibuk sangatlah.”
“Orang akaun selalu berhentilah. Tukar-tukar orang.”
Itulah di antara alasan-alasan yang diutarakan kepada saya apabila saya bertanya mengenai bayaran yang sepatutnya saya terima lebih awal itu. Saya mulai merasai kepincangan dalam pengurusan wanita itu. Tidak pernah mengakui kesilapan sendiri dan sebagai ganti, meletakkan kesalahan kepada kakitangan malah lebih teruk lagi, kepada majikannya sendiri (patutkah?).
Ketika manuskrip pertama (siri cerita kanak-kanak) saya hantar dahulu, dalam masa tiga hari sahaja cek saya telah dikeluarkan dan terus dibank in kepada saya. Lama- kelamaan saya menunggu sehingga hampir tiga bulan untuk mendapatkan bayaran bagi harta intelek yang saya jual itu. Ketika itu saya tidak mengetahui betapa pentingnya memegang hak cipta.
“Bos cuti raya cinalah. Seminggu....” Itu alasan pertama apabila saya bertanyakan tentang payment.
“Kata akak, skrip saya sudah diberikan kepada bos,” ujar saya.
“Bos kalau free, dia buatlah. Tapi sekarang dia tengah sibuk untuk planing tahun depan. Skrip kau tu untuk tahun depan!” nada suara pengurus penerbitan itu semakin meninggi.
Hah? Jadi saya yang menjual skrip ni kena tunggu tahun depanlah bagi mendapatkan payment? Sama macam menunggu bayaran royalti?
“Kalau kau dah tak sabar, ambil baliklah skrip kau tu!”
Amboi! Manisnya bahasa, indahnya pekerti, tajamnya lidah tidak bertulang itu. Ketika terdesak, penulis dungu inilah yang dipujuk rayu. Bayaran pula cepat saja dibank in. Sekarang apa sudah jadi? Saya sebagai penjaja barang jualan, memanglah berhak bertanya. Setujukah mereka membeli barangan saya? Apa perkembangan yang sepatutnya? Bukannya saya bertanya setiap hari tetapi hanya sebulan sekali.
Huh... sudahlah tiga novel dan enam belas siri cerita kanak-kanak saya itu, sampai ke hari ini pun tidak pernah saya lihat kulitnya....
Pantas fikiran saya ‘memblack list’ syarikat penerbitan ini. Taubat saya tidak akan berhubung lagi dengan mereka. Kalau saya busuk hati, mahu sahaja saya hantar ketiga-tiga novel saya yang sudah mereka terbitkan itu kepada penerbit lain. Mengapa saya boleh berfikiran sebegitu? Kerana saya tidak pernah menandatangai apa-apa perjanjian pun dengan mereka. Malah saya tidak pernah menandatangi sebarang akuan penerimaan bayaran dengan mereka. Namun saya tidaklah sebusuk itu. Malah saya tidak mahu memburukkan nama sendiri.
Cukuplah saya seorang yang mengalami peristiwa itu. Semoga teman-teman saya yang lain tidak akan sewenang-wenangnya dipergunakan oleh golongan penerbit seperti ini. Bukanlah tujuan saya hendak memburukkan, namun ia sebagai ikhtibar supaya teman-teman lain sentiasa berwaspada dan beringat-ingat. Buah yang busuk dan rosak, sama-samalah kita hindari dari memakannya. Bimbang kelak memudaratkan.
Sewenang-wenangnya mereka memeras penulis jahil seperti saya (ketika itu). Mujurlah kini saya sudah tidak jahil lagi.



Bagaimana Penulis Ditindas (Lagi)
Zurinah adalah penulis baru yang berbakat, tetapi dia tidak tahu bakatnya setinggi mana. Dengan keyakinan karyanya tidak akan diterima oleh DBP, Creative, Utusan ataupun Alaf21, dia menghantar novel pertamanya ke sebuah penerbit kecil yang mempunyai seorang editor Melayu sepenuh masa.Selepas seminggu Zurinah menelefon editor itu dan bertanya khabar. Dia diberitahu novelnya diterima untuk diterbitkan."Sedaplah cerita awak," kata editor itu. "Touching! I sedih baca," katanya lagi.Dua bulan kemudian Zurinah ke kedai majalah dan ternampak novelnya dipamerkan dalam kedai kecil itu. Hatinya gembira bukan kepalang, dia terus membeli semua 4 naskhah yang masih belum terjual."Semua?" Mamak itu bertanya macam tak percaya."Semua!" kata Zurinah. "Ini novel saya!" katanya lagi tanpa ditanya."Wah! Bagus, ini novel banyak laku. Baru 5 hari saya sudah jual 20!" kata si Mamak.Besok pagi Zurinah pergi ke pejabat penerbit itu dengan harapan dia boleh mendapat apa-apa jua bentuk bayaran."You tulis satu lagi novel, nanti I bayarlah novel you yang ada sekarang," kata tuan punya penerbit itu."Kalau aku tulis novel kedua, kalau aku serahkan kepadanya, apa jaminan dia akan bayar aku?" kata hati Zurinah. (dipetik daripada blog SIFU PTS)

Siapalah agaknya heroin dalam kisah pendek ini ya? (he he he...)

Monday, February 20, 2006

Sebuah Lagu.

Cantik Manis

Kata kekasihku aku cantik,
dan punya daya penarik,
Memujukku tak serik-serik,
Hingga akhirnya aku tertarik.

Katanya aku manis,
Pabila senyum pabila menangis,
Bagaimana harus kutepis,
Mahukan cintaku seperti pengemis.

Lagu yang ringkas. Hanya dua rangkap sahaja. Rimanya seperti puisi. Melodinya juga seringkas lirik, tidak ubah seperti lagu kanak-kanak. Kalau tidak salah, hanya petikan sebuah gitar sahaja yang mengiringi nyanyian. Sudah lama tidak kedengaran berkumandang.

Twinkle twinkle little star,
How I wonder what you are,
Up above the world so high,
Like a diamond in the sky.

Ciri-ciri kedua-dua lagu ini hampir sama.

Friday, February 10, 2006

Apabila Izrail Datang Memanggil....

CERTOT 1

“Berehatlah dahulu.”
Pandangan Makcik Zubaidah, jatuh ke wajah Maria yang baru beberapa ketika keluar dari wad ICU.
“Mak....”
Maria merintih tersedu di bahu Makcik Zubaidah. Air mata Makcik Zubaidah dan Maria bersatu lagi pada pagi itu.
“Bersama-samalah kita berdoa, ya,” pujuk Makcik Zubaidah. Meskipun begitu, dia gagal untuk memujuk dirinya sendiri. Esakkannya dan esakkan Maria bersatu kembali.
Beberapa ketika kemudian, kedua-dua wanita itu sama-sama duduk di bangku yang menjadi tempat peraduan mereka semenjak seminggu yang lalu. Semenjak Shamsul dimasukkan ke unit ICU, di situlah Makcik Zubaidah bersama menantunya bersahur, berbuka, malah melelapkan mata buat beberapa saat. Di situ jugalah tubuh Makcik Zubaidah menjadi santapan nyamuk-nyamuk saban malam.
Malam-malamnya di bulan Ramadhan pada tahun itu, dipenuhi dengan bacaan ayat-ayat suci di sisi katil Shamsul.
“Kamu berehatlah. Biar mak pula bersama Shamsul,” kata Makcik Zubaidah. Maria sekadar mengangguk. Sesekali gadis itu menyapu air mata yang sedang bertakung dikelopak matanya.
Sekejapan sahaja Makcik Zubaidah sudah berada di sisi Shamsul yang sedang koma itu. Mata Makcik Zubaidah menyeluruhi sekujur tubuh Shamsul yang terbujur di hadapannya. Alat bantu pernafasan, tiub dan wayar-wayar menjadi hiasan di tubuh Shamsul.
“Syamsul... mengucap, nak,” kata Makcik Zubaidah sambil mengusap-usap telapak tangan Shamsul. Bibirnya merapat ke telinga Shamsul. Kalimah-kalimah suci dibisikkan ke telinga pemuda itu.
Kata doktor, Shamsul boleh mendengar biarpun matanya terpejam dan jasadnya tidak berkuit.
“Mudah-mudahan anakku mampu menyebut kalimah ALLAH ini, meskipun hanya di dalam hatinya,” doa Makcik Zubaidah. Telapak tangannya menyapu air matanya yang sedang hendak berderai.
Sebentar kemudian, ayat-ayat dari surah Yasin berlagu dari bibir Makcik Zubaidah.
Kurang seminggu Syawal bakal menjelang. Namun Makcik Zubaidah masih juga di situ.
“Sabarlah, makcik,” ujar teman-teman Shamsul yang datang melawat tengah hari itu. Makcik Zubaidah mengangguk-angguk.
“Makcik bagi pihak Shamsul, ingin memohon supaya diampunkan segala kesalahannya. Halalkan juga jika ada yang termakan dan terminum olehnya,” ujar Makcik Zubaidah sambil sedaya-upaya menahan diri dari tersedu lagi.
“Seandainya anak makcik ada berhutang, silalah tuntut,” kata Makcik Zubaidah lagi.
Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh Makcik Zubaidah setiap kali saudara-mara dan rakan-taulan datang menziarahi Shamsul. Kata-kata doktor membuatkan Makcik Zubaidah tidak meletakkan sebarang harapan lagi buat Shamsul.
Makcik Zubaidah sentiasa bersedia.
Tengah hari itu, Makcik Zubaidah terlihat anak ketiganya membelek-belek kad undangan bagi majlis persandiangan Shamsul. Kad undangan itu hanya menanti masa untuk diedarkan bagi majlis kenduri yang bakal dilangsungkan tiga minggu selepas lebaran.
Makcik Zubaidah memejamkan mata serapat-rapatnya. Tidak tergamak matanya hendak memandang kad undangan itu.
“Mak!” Maria sudah tercegat di hadapannya. Tanpa sepatah kata, tubuhnya dirangkul oleh Maria.
Tangisan dan sedu-sedan Maria memberikan jawapan buat Makcik Zubaidah. Terasa longlai segala sendi dan urat sarafnya.
Lebaran tahun itu, Makcik Zubaidah kehilangan seorang anak walaupun bertambah seorang lagi menantu. Matanya basah tiba-tiba tatkala memandang Maria yang sudi untuk menjadi pengganti Shamsul di pagi lebaran itu.
Maria, gadis yang baru dua bulan bergelar menantunya, kini sudah bergelar balu pula.


CERTOT 2


“Emak... kesakitan saya sudah semakin menggigit.”
Zainah yang sudah sejam mengerut-ngerutkan dahinya, kini sedang terbaring di hadapan Mak Ton.
“Emak panggilkan abang iparmu sekarang juga.” Tanpa menanti jawapan, Mak Ton bergegas menghubungi Halim, menantunya yang tinggal di hujung lorong kampung.
Ketika melahirkan anak-anaknya yang terdahulu, Zainah tidak mengambil masa yang lama untuk bersalin. Bahkan dia pernah hampir melahirkan bayi di dalam kereta.
“Tolong minta kakak datang sekali, ya,” pinta Zainah. Mak Ton mengangguk cuma.
Tidak lama kemudian, Halim tiba bersama isterinya, Marini.
“Emak tolonglah lihat-lihatkan anak-anak saya yang lain, ya,” pinta Zainah sekali lagi sebelum bertolak ke hospital.
Air matanya mengalir tatkala menyandarkan diri di dalam kereta abang iparnya. Bukan akibat kesakitannya. Tetapi kerana memikirkan bukan suaminya yang menghantarnya ke hospital.
Setibanya mereka di hospital, Zainah ditolak ke bilik bersalin.
“Kakak... tolonglah temani saya di dalam,” pinta Zainah lagi. Marini mengganguk. Tangan Zainah diramas dan digenggam seeratnya. Jari-jemari Marini mengusap-usap ubun-ubun Zainah.
“Kakak...” Zainah mula merintih. Sebaknya mula menyesak-nyesak. Setitis-setitis air matanya jatuh.
“Sabarlah, adik. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Demi bayi yang bakal lahir,” bisik Marini ke telinga Zainah.
Seharusnya di kala itu, suamilah peneman dan penguat semangatnya. Sebaliknya hanya kakak sulungnya yang sedang meniup semangat dan memberi kata perangsang buatnya.
Kesakitannya yang sedang menggila itu bersatu di pinggangnya. Air mata semakin ramah menjamah pipinya.
Doktor dan jururawat sedang bersedia di sisi Zainah. Seluruh tenaga dikerah untuk menolak bayinya dari kantung rahim. Namun Zainah gagal.
“Cuba lagi puan,” arah doktor bertugas.
“Kuatkan semangat, dik.” Marini menggenggam erat-erat telapak tangan Zainah.
Sekali lagi Zainah mencuba. Namun dia gagal lagi. Air matanya bergenang-genang lantas menuruni pipinya lagi.
“Jangan menangis,” pujuk Marini. Namun air mata Zainah tetap juga tidak dapat ditahan. Tangisannya bukan kerana kesakitan yang sedang bersatu di tubuhnya. Tetapi kerana....
Zainah memejamkan matanya serapat mungkin.
“Apabila kontraksi sekali lagi, puan cuba, ya,” kata doktor bertugas. Sudah berkali-kali Zainah mencuba, namun dia masih juga gagal. Bayinya masih juga kekal di dalam rahimnya.
Tiba-tiba sekali lagi gulungan ombak terasa melanda di pinggangnya. Dengan iringan kalimah ALLAH, Zainah mengerah seluruh kudrat yang masih tersisa.
Seakan segunung rahmat melimpahi diri Zainah, tatkala terdengar tangisan penghuni baru di muka bumi ini.
“Apakah jantina bayi, puan?” Doktor bertugas tersenyum sambil mengangkat bayi itu di hadapan Zainah.
“Lelaki,” jawab Zainah sepatah.
“Bayi ini beratnya empat kilogram lebih,” ujar jururawat. Doktor mengangguk. Lantaran itulah Zainah hampir kelelahan tadi.
Seketika kemudian, Zainah menangis semahu-mahunya. Sepatutnya di saat itu dia harus menangis kegembiraan. Tetapi....
Halim sedang bersedia mengalunkan kalimah-kalimah suci ke telinga bayi Zainah. Sebak di dada Zainah menyesak-nyesak lagi. Seharusnya di kala ini, si bapalah yang mengalunkan kalimah suci itu ke telinga bayinya.
“Sedari tadi puan tidak putus-putus menangis. Ada apa-apa masalahkah, puan?” tanya seorang jururawat.
“Bayi saya tidak berbapa. Bayi saya yatim sejak dari dalam kandungan lagi.” Zainah terus tersedu.

Certot-certot itu adalah dua episod peristiwa yang pernah terjadi di hadapan mata saya sendiri. Insan-insan yang mengalaminya adalah saudara-saudara terdekat saya sendiri. Punca kematian disebabkan oleh penyakit yang sama, ketumbuhan otak.

Certot 1. Allahyarham mengetahui penyakitnya, namun sengaja merahsiakan daripada pengetahuan ahli keluarga dan sahabat-handai. Kematian yang mengejut saat si isteri hamil empat bulan, cukup memberi tamparan hebat buat seisi keluarga. Tambahan pula anak-anaknya seramai lima orang itu masih kecil-kecil semuanya.
Tanpa walau sedikit pun harta tinggalan, si isteri bertungkus-lumus membesarkan anak-anak dengan bekerja sebagai tukang cuci pejabat. Namun kerana keberkatan rezeki itu, alhamdulillah anak-anak yatim itu sentiasa kecukupan makan pakai dan kelengkapan mereka meskipun sekadar-sekadar sahaja.

Certot 2. Allahyarham baru dua bulan diijabkabulkan dengan gadis pilihannya. Allahyarham sendiri tidak mengetahui penyakit yang dihidapi. Sawan yang menyerangnya sejak di bangku persekolahan rupa-rupanya adalah tanda penyakit itu.
Seminggu umat Islam berpuasa, allahyarham koma selepas bersahur. Dua minggu koma di ICU. Kad jemputan bagi majlis perkahwinannya hanya menanti masa diedar sahaja. Hantaran dan perkakas perkahwinan sudah serba lengkap. Namun seminggu sebelum lebaran, allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir dalam usia 22 tahun. Termasuk bulan ini, sudah empat bulan gadis yang baru dinikahi itu menjadi balu.

Ajal datang menjemput tanpa mengucaplan salam. Bila pula giliran kita?

Semoga ALLAH mencucuri rahmat keatas kedua-dua allahyarham. Amin....

Saturday, February 04, 2006

Hadir vs Tidak Hadir

“Kalau mahu hadir bengkel, tak payah balik kampung.”
Saya terdiam. Lama.
“Hadir ke bengkel atau mahu pulang ke kampung?”
Saya terdiam lagi. Agak lama baru saya menjawab.
“Balik kampung sahajalah.” Si dia hanya tersenyum.
“Buat keputusan betul-betul.”
Sekali lagi saya terdiam. Ah, kacau… Si dia main psikologi pula. Saya berfikir-fikir lagi.
“Bengkel atau balik kampung?” Sekali lagi pertanyaan itu diajukan kepada saya.
“Balik kampung!” Keputusan saya muktamad.
Di kampung saya masih memikirkan tentang bengkel. Ada tiga perkara yang cukup menarik. Pertama: percuma. Kedua: dapat ilmu. Ketiga: jumpa teman-teman yang dapat menyuntik semangat ( apabila bertemu mereka, pasti akan bercerita mengenai perkembangan aktiviti penulisan masing-masing. Di situlah wujudnya sikap ingin bersaing sesama sendiri. Persaingan sihat! ).
Sambil bercuti saya sempat mencuri masa menyemak kerja editing. Wah! Ada sesuatu yang tidak kena dengan manuskrip ini. Spontan saya terfikirkan sesuatu.
“Barangkali penulisnya akan hadir ke bengkel,” saya berkira-kira sendiri. Saya mula merangka rancangan.
Kemudian saya menghantar SMS kepada si penulis, menyatakan kekeliruan saya terhadap beberapa para di dalam manuskripnya.
Beberapa minit kemudian, SMS saya tadi mendapat balasan. Jawapannya menghampakan sekaligus membuatkan dua alasan sudah menjadi satu alasan sahaja berkurang.
Sebenarnya saya sudah terfikir bagi hadir ke bengkel pada sebelah petang kerana dua alasan. ( Kalau satu alasan sahaja sah-sah saya tidak akan hadir ke bengkel) Dalam fikiran, dapat juga separuh hari ilmu di bengkel itu, kerana merasakan Yusufisme itu sangat penting untuk didalami. Kedua, meleraikan kekeliruan dengan teman penulis yang sedang saya edit skripnya itu.
“Kalau begitu tak payahlah datang ke bengkel.” Si dia tersenyum-senyum sahaja apabila saya menceritakan kepadanya mengenai perkara itu.
“Kalau boleh saya nak datang juga walaupun separuh hari,” balas saya. “Pagi kita bertolak pulang ke KL. Tengah hari sampai di sana terus sahaja singgah ke bengkel.”
Si dia terdiam. Barangkali sedang memikirkan sesuatu. Melihat riak wajahnya, saya dapat menangkap isi hatinya.
Terpasakalah saya mengalah. Tak mengapalah. Hari itu saya memujuk-mujuk hati sendiri.
Petang Jumaat, saya menerima SMS dari Pn.Ainon yang mengingatkan mengenai bengkel tersebut. Hati saya berbelah bagi lagi. Hadir vs Tidak Hadir.
Aduh! Bagaimana? Si dia sudah geleng-geleng kepala. Kalah lagi nampaknya saya.
Pagi Sabtu saya menerima SMS dari seorang teman.
‘Akak pergi bengkel hari ini? Saya masih berada di Johor. Kalau akak pergi, sampaikan salam kepada puan, ya.’
Hati berkata, nampaknya beberapa orang teman sudah menempatkan diri di dalam senarai tidak hadir termasuklah saya sendiri.
Tengah hari itu sebelum bertolak pulang, sekali lagi saya menerima SMS dari seorang teman yang berjaya menghadirkan diri ke bengkel tersebut.
‘Seronok bengkel hari ini. Prof. Zul datang dan bagi talk. Ulama besar tu. Bukan calang-calang orang! Seronok sangat-sangat!’
Saya menepuk dahi. Aduh! Sakitnya dahi saya kena tepuk. Rugi-rugi….
Apa nak buat? Masa tidak boleh diundur semula!

Wednesday, February 01, 2006

Melah Melia

Melah Melia Pelajar Pintar.
“Cikgu Razman membawa kertas ujian. Pasti kertas ujian bulanan tempoh hari,” ujar Syamimi sebaik sahaja Cikgu Razman masuk ke kelas mereka.
“Barangkali juga,” balas Melah Melia sambil mencium ‘tuala busuknya.’ Wajahnya tidak menunjukkan sebarang emosi. Berlainan pula dengan wajah Syamimi yang pucat lesi. Debar di dadanya semakin kencang apabila memikirkan markah yang bakal diterimanya nanti.
“Inilah pelajar yang mendapat markah tertinggi pada ujian bulan ini.” Cikgu Razman sengaja mengangkat satu kertas ujian di tangannya. Sementara kertas-kertas ujian yang lain, dibiarkan terletak di atas meja guru.
“Siapalah agaknya yang empunya kertas ujian itu,” kata Amran yang duduk di penjuru kelas.
“Yang pasti ia bukan milik kamu,” balas Cikgu Razman. Amran hanya tersenyum tersengih menampakkan barisan giginya yang bersimpang-siur itu.
“Jangan-jangan....” Perlahan-lahan Amran mengalihkan pandangannya ke arah Melah Melia. “Budak skema itu lagi,” bisik Amran kepada Rizal.
Kelihatan Melah Melia sedang tekun mendengar kata-kata Cikgu Razman sehingga ternganga mulutnya. Seperti biasa semasa di dalam kelas, seratus-peratus tumpuan Melah Melia adalah terhadap gurunya.
“Kertas ujian ini milik Melah Melia, sama seperti bulan-bulan sebelumnya,” kata Cikgu Razman lagi.
“Saya sudah agak. Pasti milik budak skema itu,” bisik Amran lagi sambil mencebir.
“Bilalah agaknya Amran akan menggantikan tempat teratas Melah?” sindir Cikgu Razman.
“Apabila Amran menjadi teman lelaki Melah, cikgu!” Tanpa disangka-sangka, Rizal membalas kata-kata Cikgu Razman. Kelas Tingkatan Satu A tiba-tiba riuh-rendah oleh gelak-tawa pelajar-pelajar itu. Cikgu Razman sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya menghadapi karenah pelajar-pelajarnya.
“Tidak guna punya kawan,” bisik Amran. Wajahnya merah padam menahan malu. “Seandainya nama Syamimi yang disebut oleh Rizal tadi, barulah sepadan dengan saya,” bisiknya lagi.
Sementara itu Melah Melia hanya tersenyum-senyum tersengih-sengih sahaja. Tidak terusik walau sedikit pun kata-kata Rizal itu di hatinya.
“Ambil kertas ujian kamu.” Cikgu Razman menyerahkan semula kertas ujian yang sudah ditandai itu kepada Melah Melia.
“Boleh pinjamkan kertas ujian itu kepada saya?” tanya Syamimi yang duduk di sebelah Melah Melia.
“Ambillah.” Melah Melia tanpa berfikir, pantas menyerahkan kertas itu kepada Syamimi.
“Kamu memang mengagumkan. Setiap bulan kamulah pelajar yang mendapat tempat teratas.” Mata Syamimi membuntang tatkala pandangannya tertancap ke angka yang tertulis dipenjuru kertas ujian milik Melah Melia.
Pada waktu yang sama, seorang demi seorang pelajar mengambil kertas ujian masing-masing apabila nama mereka disebut oleh Cikgu Razman.
“Lihatlah markah saya untuk bulan ini. Setiap bulan semakin merosot,” sungut Syamimi.
“Tidak begitu teruk. Lapan puluh lima peratus, masih dalam senarai bagus,” ujar Melah Melia. Sesekali dia membetulkan kaca matanya yang setebal balang akurium di rumahnya itu.
“Bagaimana kamu belajar? Ingin sekali saya menandingi kamu.” Syamimi tanpa berselindung meluahkan rasa hatinya.
“Tumpukan perhatian ketika guru mengajar dan membuat latihan. Ulangkaji juga jangan dilupa,” balas Melah Melia tanpa ragu. Sesekali dia mencium-cium tuala kecilnya. Tuala kecil itu adalah ‘tuala busuk’ miliknya sejak dari zaman kanak-kanak sehingga dia menginjak remaja. Warna kuning, kelabu dan coklat sudah sebati menjadi satu warna lain.
“Inilah markah paling rendah sejak empat bulan berturut-turut.” Suara Cikgu Razman berkumandang lagi.
“Siapalah pelajar yang paling malang itu?” Suara Amran tiba-tiba melantun keluar.
“Kertas ini kamulah yang empunya,” kata Cikgu Razman.
Serentak dengan itu, bergemalah gelak tawa pelajar-pelajar Tingkatan Satu A. Amran sekadar menundukkan kepalanya sesudah kertas ujian itu diambilnya dari tangan Cikgu Razman.
“Bagaimana saya boleh terlupa sudah beberapa bulan saya mendapat markah tercorot sekali?” gumam Amran. Sementara itu, Rizal yang duduk disebelahnya masih ketawa terkekeh-kekeh. Pantas buku lima Amran singgah ke bahu Rizal. Dalam kesakitan, Rizal masih juga terkekeh-kekeh ketawa.
“Seandainya kamu mahu pandai, jadilah teman lelaki Melah,” usik Cikgu Razman. Sekali lagi kelas Tingkatan Satu A bergema dengan gelak-tawa. Sekali lagi wajah Amran merah padam. Sekali lagi Melah Melia tersengih-sengih. Sekali lagi Rizal ketawa terkekeh-kekeh.